WACANA INTELEKTUAL MPM-YADIM
7 January 2014
PELAKSANAAN HUDUD DI BRUNEI:
PERBEZAAN DI ANTARA BRUNEI DAN MALAYSIA
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad
(Mantan Ketua Hakim Negara Malaysia)
Pendahuluan
Pada 22 Oktober 2013, Kerajaan Brunei Darussalam telah mewartakan Perintah
Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013 (PKHJS 2013) dengan tujuan, secara
ringkasnya, untuk melaksanakan hukuman hudud[i] dan qisas di negara itu. Namun demikian,
Perintah itu masih belum dikuatkuasakan. Ia akan dikuatkuasakan (atau
dilaksanakan) berperingkat-peringkat, bermula dengan kesalahan-kesalahn ta’zir yang di jadualkan dalam bulan
April 2014. Sementara itu, peruntukan-peruntukan undang-undang yang sedia ada
termasuk Penal Code akan berjalan seperti biasa dan kes-kes itu akan terus
dibicarakan oleh Mahkamah Sivil. Ini kerana kerja-kerja mengemaskini
undang-undang berkaitan seperti acara jenayah, undang-undang keterangan dan
lain-lain masih belum selesai.
Perbincangan ini ditumpukan kepada bagaimana kesalahan-kesalahan di
bawah Perintah tersebut akan dilaksanakan. Saya tidak akan membincangkan secara
terperici mengenai kesalahan-kesalahan itu, apakah ingredientsnya, cara
membuktikannya, hukumannya dan cara pelaksanaan hukuman-hukuman itu. Saya juga
tidak akan membincangkan sama ada peruntukan-peruntukan itu sesuai atau tidak
sesuai diperundangkan dan dilaksanakan. Dalam syarahan ini, saya akan
bandingkan keadaan di Brunei dengan keadaan di Malaysia dari segi peruntukan
Perlembagaannya, sistem kerajaan, perundangan, kehakiman dan politik dan menyerahkan
kepada tuan-tuan dan puan-puan untuk menimbang dan membuat penilaian dan
keputusan sendiri sama ada apa yang dilakukan oleh Brunei itu boleh atau sesuai
dilakukan di Malaysia atau tidak, dalam keadaan di Malaysia pada masa ini.
Sistem Politik dan Kerajaan
di Brunei
Brunei adalah
sebuah negara “Melayu, Islam, Beraja”. Islam adalah agama rasmi Brunei. Sultan
adalah ketua agama rasmi Brunei. Baginda boleh, setelah berunding dengan Majlis
Ugama Islam, tetapi tidak semestinya mengikut nasihat Majlis itu, membuat
undang-undang mengenai perkara-perkara yang berhubung dengan agama Islam.[ii]
Kuasa memerintah
yang tertinggi bagi Brunei adalah terletak dalam tangan Baginda. Baginda adalah
Perdana Menteri. Baginda adalah
Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Kuasa memerintah
hendaklah dijalankan oleh Baginda. Baginda boleh melantik sebilangan orang
Menteri dan Timbalan Menteri yang akan bertanggungjawab hanya kepada Baginda sahaja
bagi menjalankan kuasa memerintah. Pelantikan mereka boleh di mansuhkan (revoked) tanpa memberi apa-apa sebab.[iii]
Terdapat sebuah Majlis Mesyuarat Di-Raja (MMDR) yang
ahli-ahlinya terdiri daripada Timbalan Sultan, Pemangku-Pemangku Raja
(kedua-duanya jika ada pelantikan dibuat), Ahli-Ahli Rasmi dan ahli-ahli yang
dilantik oleh Baginda.[iv]
Tugas MMDR, antara lain, adalah untuk menasihatkan Baginda mengenai sebarang
pindaan, tambahan atau pembatalan sebarang peruntukan Perlembagaan. Walau
bagaimana pun Baginda tidak tertakluk kepada nasihat MMDR.[v]
Perlembagaan
Brunei memperuntukkan sebuah Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet[vi] (Kabinet)
yang ahli-ahlnya terdiri daripada Perdana Menteri (Baginda sendiri) dan
Menteri-Menteri yang dilantik oleh Baginda.[vii] Ahli-ahli
Kabinet “menduduki kerusinya .... selama tempoh selagi diperkenankan oleh....” Baginda.[viii]
Keputusan Kabinet tidak sah jika ia tidak diperkenankan oleh Baginda.[ix]
Baginda dikehendaki, tetapi tertakluk kepada pengecualian-pengecualian, berunding
(consult) dengan Kabinet dalam
melaksanakan tugas-tugas Baginda.[x] Baginda
“tidak terikat untuk bertindak menurut
nasihat Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri, tetapi dalam sebarang hal yang
sedemikian, Baginda hendaklah membuat catatan secara bertulis, untuk dimasukkan
ke dalam minit-minit mesyuarat, sebab-sebab keputusan Baginda itu.” [xi]
Perlembagaan Brunei juga memperuntukkan sebuah Majlis Mesyuarat Negara
(MMN).[xii]
(ia bolehlah dibandingkan dengan Dewan Rakyat). MMN mempunyai 45 orang ahli, 30
daripadanya dilantik oleh baginda manakala 15 orang lagi dipilih melalui
pilihanraya. Setiap orang ahli MMN memegang jawatan masing-masing selama ia
diperkenankan oleh Baginda.[xiii]
Tetapi, semenjak tahun 1962, dengan berkuatkuasanya Perintah Darurat,
pilihanraya tidak diadakan. Oleh yang demikian, semua ahli MMN pada masa ini
adalah dilantik oleh Baginda. Persidangan MMN telah diadakan semula semenjak
tahun 2004 setelah di gantung dalam tahun 1984. Semenjak tahun 2004 ia
bersidang setiap tahun selama 3 hingga 4 minggu setahun.[xiv]
Perlembagaan Brunei
memberi kuasa kepada Sultan untuk membuat pemasyhuran darurat.[xv] Pemasyhuran
darurat yang dibuat dalam tahun 1962 masih berkuatkuasa sehingga sekarang. Sepanjang
pemasyhuran darurat berkuatkuasa, antara lain, Baginda “boleh membuat apa jua Perintah pun yang Baginda fikirkan dikehendaki
bagi kepentingan orang ramai.” Perintah-perintah tersebut termasuklah “.....
pengubahsuaian, pindaan, penggantian atau penggantungan semua atau
mana-mana peruntukan sebarang undang-undang bertulis;”[xvi] Perintah Kanun
Hukuman Jeyah Syariah 2013 adalah salah satu perintah itu.
Perkara 84 Klausa (2)
memperuntukkan:
“(2) Tiada sebarang apa pun dalam
Perlembagaan ini boleh dianggap mengurangkan hak dan kuasa kedaulatan Kebawah
Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan dan, bagi
mengelakkan kewahaman, maka adalah diisytiharkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia
Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan berkuasa untuk membuat
undang-undang dan memasyhurkan lagi satu Bahagian atau Bahagian-Bahagian
Perlembagaan ini dari masa ke semasa jika difikirkan oleh Kebawah Duli Yang
Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan elok diperbuat
demikian.”
Ini dikuti dengan peruntukan Perkara 84A:
“84B. (1)
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan
tidak pandai berbuat salah sama ada atas sifat peribadi atau rasmi Baginda.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan
tidak boleh dibicarakan di dalam mana-mana mahkamah berkaitan dengan apa-apa
jua yang dilakukan atau ditinggalkan daripada dilakukan oleh Baginda dalam masa
atau selepas pemerintahan Baginda sama ada atas sifat peribadi atau rasmi
Baginda.”
Perkara 84C memperuntukkan:
“84C. (1)
Remedi bagi kajian semula kehakiman tiada dan tidak boleh didapati di Negara
Brunei Darussalam.”
Klausa (3) menjelaskan bahawa kajian semula
kehakiman itu termasuklah:
(a) suatu
permohonan bagi sebarang perintah prerogatif mandamus, larangan dan certiorari;
(b) suatu permohonan bagi suatu
pengisytiharan atau injunksi;
(c) suatu writ habeas corpus; dan
(d) mana-mana
guaman atau tindakan lain berhubung dengan atau berbangkit dari apa-apa
perbuatan, keputusan, pemberian, pembatalan atau penggantungan, atau keengganan
atau peninggalan daripada berbuat demikian, sebarang perjalanan atau keengganan
atau peninggalan daripada menjalankan sebarang kuasa, autoriti atau
budibicara yang diberikan kepada Kebawah
Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan, atau
mana-mana pihak yang bertindak bagi pihak Baginda atau dengan titah perkenan Baginda
atau dalam melaksanakan sebarang tugas awam, di bawah peruntukan-peruntukan
Perlembagaan ini atau sebarang undangundang bertulis atau pun selainnya.
Perkara 85 membolehkan Sultan, “dengan
Pemasyhuran, meminda, menambah atau membatalkan sebarang peruntukan
Perlembagaan ini termasuk Perkara ini; dan Perlembagaan ini tidak boleh
dipinda, ditambah atau dibatalkan dengan cara lain.” Dalam menjalankan
kuasa-kuasa itu Baginda “hendaklah
berunding dengan Majlis Mesyuarat Di-Raja” tetapi Baginda “tidak terikat untuk bertindak mengikut
nasihat Majlis itu.”
Perlu diingati bahawa kuasa-kuasa yang disebut ini terpakai sepanjang
masa.
Biasanya tafsiran Perlembagaan adalah tugas Mahkamah. Tetapi, di bawah
Perlembagaan Brunei tugas itu diberi kepada Tribunal Tafsiran yang mempunyai
tiga orang ahli yang dilantik oleh Baginda dan memegang jawatan selama
mereka diperkenankan oleh Baginda.[xvii]
Apakah yang tidak disebut dalam Perlembagaan Brunei? Beberapa perkara
yang amat ketara ialah tidak ada peruntukan-peruntukan yang mengatakan bahawa
Perlembagaan adalah undang-undang utama negara dan mana-mana undang yang tidak selaras
dengannya adalah tidak sah. Juga tidak ada peruntuan mengenai kebebasan asasi,
pilihanraya, Badan Kehakiman mahupun mahkamah syari’ah.
Kesimpulannya, pertama, sistem politik dan kerajaan di Brunei adalah satu
sistem beraja mutlak (absute monarchy).
Dalam keadaan biasa pun Sultan mempunyai kuasa mutlak eksekutif dan
perundangan. Kuasa Baginda megatasi peruntukan-peruntukan Perlembagaan di samping
Baginda boleh meminda Perlembagaan dan juga membuat undang-undang. Dalam
keadaan darurat, semenjak tahun 1962 hinggalah sekarang, Baginda boleh membuat
undang-undang melalui perintah. Isi kandungan perintah itu boleh bercanggah
dengan dan mengatasi mana-mana peruntukan Perlembagaan atau undang-undang.
Kedua, Brunei adalah sebuah negera unitary,
bukan sebuah persekutuan dan tiada pembahagian kuasa perundangan di antara persekutuan
dan negeri.
Ketiga, tidak ada sekatan keperlembagaan mengenai bidangkuasa mahkamah sivil
mahupun mahkamah syariah. Misalnya bidangkuasa mahkamah syariah tidak terhad
kepada orang-orang yang manganut agama Islam sahaja. Tidak ada sekatan mengenai
jenis kesalahan yang boleh diletak di bawah bidangkuasa mahkamah syariah (misalnya
kesalahan berkenaan “precepts of Islam”
(suruhan Islam) atau mengenai jenis hukuman yang boleh dilaksanakan oleh Mahkamah
Syariah. Jika ada apa-apa sekatan pun, Sultan boleh tidak memperdulikannya atau
menindanya.
Keempat, walapun di Brunei ada beberapa parti politik, parti-parti
politik itu tidak memainan apa-apa peranan dalam pemerintahan. Juga, tidak ada
gabungan parti-parti politik yang ahli-ahlinya terdiri daripada berbagai-bagai
kaum dan agama untuk membentuk kerajaan dan tidak ada pembangkang.
Dalam keadaan itu, tidak ada apa atau sesiapa yang boleh menghalang Sultan
jika Baginda hendak membuat sesuatu undang-undang dan melaksanakannya. Dalam
keadaan itulah Perintah Kanun Kesalahan Jenayah Syariah 2013 dibuat.
Sistem politik dan kerajaan
di Malaysia
Oleh sebab kesempitan masa dan tuan-tuan dan puan-puan telah pun maklum
mengenai keadaan di Malaysia, saya hanya akan menyebut perkara-perkara yang
penting sahaja secara ringkas.
Malaysia adalah sebuah persekutuan. Ada perkara yang terletak dalam
bidangkuasa perundangan persekutuan[xviii],
ada yang terletak di bawah bidangkuasa perundangan negeri[xix].
Perlembagaan adalah undang-undang utama dan mana-mana undang-undang yang tidak
selaras dengannya adalah tidak sah.[xx]
Kuasa kerajaan dibahagi kepada tiga: Eksekutif Perundangan dan Kehakiman.
Hakikatnya, di peringkat persekutuan, kuasa eksekutif terletak kepada Jemaah
Menteri yang diketuai oleh Perdana Menteri. Mereka adalah terdiri daripada
ahli-ahli Dewan Rakyat yang dipilih dalam pilihan raya daripada komponan
parity-parti yang menang majoriti dalam pilihan raya umum. (Kecuali beberapa
orang yang dilantik daripada ahli Dewan Negara). Mereka bertanggungjawab (answerable) kepada pengundi-pengundi dan
pengundi-pengundi boleh menjatukan sesebuah keraajaan melalui undi mereka jika
mereka tidak sukakan sesebuah kerajaan. Yang Dipertuan Agong bertindak atas
nasihat Jemaah Menteri. Mengikut konvensyen, Baginda mestilah mengikut nasihat
Jemaah Menteri melainkan dalam beberapa hal tertentu.
Kuasa perundangan (legislative
power) terletak kapada Parlimen yang terdiri daripada Dewan Rakyat, Dewan
Negara dan perkenan Yang diPertuan Agong. Pindaan Perlembagaan memerlukan
sekurang-kurangmya dua pertiga ahli Parlimen. Selain daripada itu ada perkara
yang memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja. Parlimen persekutuan hanya boleh
membuat undang-undang mengenai perkara-perkara yang ditetapkan oleh
Perlembagaan. Ia tidak boleh membuat undang-undang bagi perkara-perkara yang
terletak dalam bidangkuasa Negeri.
Kuasa kehakiman terletak kepada Badan Kehakiman. Ini termasuk kuasa
mentafsir Perlembagaan dan semakan kehakiman (judicial review). Mahkamah berkuasa mengisytihar undang-undang,
sama ada yang dibuat oleh Parlimen atau Badan Perundangan Negeri tidak sah jika
ia tidak selaras dengan Perlembagaan. Mahkamah juga berkuasa mengisytiharkan
sesuatu perinatah, arahan atau tindakan seorang Menteri itu tidak sah memalui
semakan kehakiman (judicial review).
Ini biasanya dilakukan melalui perintah pengisytiharan (declaration), certiorari
dan habeas corpus. Tiada sesiapa yang
berada di atas undang-undang.
Badan Perundangan Negeri hanya boleh membuat undang-undang mengenai
perkara-perkara yang terletak dalam Jadual Kesembilan Senarai II (Senarai
Negeri). Mahkamah Syari’ah adalah mahkamah negeri. Bidangkuasanya terhad kepada
orang Islam sahaja.
Dengan latar belakang itu, kita lihat apa yang dilakukan oleh
Brunei.
Cara Brunei melaksanakan Perintah
Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013.
Undang-undang tersebut dibuat melalui Perintah yang dikeluarkan semasa keadaan
darurat. Ia dibuat oleh Sultan yang mempunyai kuasa mutlak. Tiada siapa yang
boleh menyoalnya. Tiada siapa yang boleh mencabarnya termasuk di mahkamah.
Untuk memahami cara ia akan dilaksanakan, kita perlu melihat secara
ringkas akan kesalahan-kesalah berkenaan.
Sebelum ini, kedudukan di Brunei adalah seperti di Malaysia.
Kesalahan-kesalahan jenayah dibicarakan oleh Mahkamah Sivil. Malah Penal Code
yang dipakai di Brunei adalah Macaulay’s Penal Code yang mulanya di terima pakai
di India dan kemudiannya di Pakistan, Sri Lanka, Myanmar, Malaysia, Singpaura
dan lain-lain tanah jajahan British. Kesalahan-kesalahan seperti membunuh, menyamun,
mencuri, merogol dan menyebabkan kecederaan kepada manusia diperuntukkn di
dalamnya dengan hukuman yang terdiri dari hukuman mati, penjara, sebatan
dan/atau denda.
Lebih kurang sama seperti di Malaysia, kesalahan-kesalahan yang dikenali
sebagai “jenayah syariah” diletakkan di bawah bidangkuasa Mahkamah Syari’ah. Ini
kerana Brunei mengambil undang-undang yang dipakai di Mahkamah Syari’ah di
Malaysia sebagai contoh dalam penggubalan undang-undangnya. Malah, Brunei juga mengambil
undang-undang yang dipakai di mahkamah syariah di Malaysia mengenai acara mal,
acara jenayah, keterangan, undang-undang keluarga Islam sebagai contoh untuk
membuat undang-undangnya.
Perintah Kanun
Hukuman Jenayah Syariah 2013 membahagikan kesalahan-kesalahan seperti berikut:
Pertama, kesalahan-kesalahan
yang boleh dihukum dengan hukuman hudud.
Misalannya, curi (sariqah), samun (hirabah), zina (zina), rogol (zina bil-jabar),
liwat (liwat), menuduh berzina (qazaf) dan meminum minuman yang memabukkan.
Kedua, kesalahan-Kesalahan
yang boleh dihukum dengan hukuman qisas
dan diyat. Misalnya, enyebabkan
kematian orang lain (qatl) dan menyebabkan
kecederaan.
Ketiga, kesalahan-kesalahan
am seperti tidak menunaikan sembahayang Jumaat, khalwat dan perbuatan tidak
sopan yang membawa hukuman penjada atau denda (ta’zir).
Perintah ini pada
amnya dikuatkuasakan terhadap orang Islam dan orang bukan Islam. Misalnya menyebabkan
kematian orang lain, curi, samun, rogol dan liwat.
Terdapat kesalahan-kesalahan
yang boleh dilakukan oleh orang Islam sahaja seperti meminum minuman yang memabukkan
dan zina.
Terdapat kesalahan
yang hanya boleh di lakukan oleh orang bukan Islam seperti menghina Nabi oleh
orang bukan Islam dan mempermainkan ayat Al-Qur’an atau hadith oleh orang bukan
Islam.
Terdapat juga
perbuatan yang tidak menjadi kesalahan jika ia dilakukan oleh orang bukan Islam
dengan orang bukan Islam. Tetapi ia menjadi kesalahan jika orang bukan Islam
melakukannya dengan orang Islam. Misalnya zina.
Kita lihat pula dari
perspektif bidangkuasa. Ada kesalahan-kesalahan yang terletak di bawah
bidangkuasa eksklusif Mahkamah Syari’ah. Misalnya, hamil luar nikah, tidak
menunaikan sembahyang Jumaat, tidak menghormati bulan Ramadhan, khalwat,
perbuatan tidak sopan, lelaki berlagak menyerupai perempuan atau sebaliknya,
mengamalkan sihir, mengembangkan ugama selain ugama Islam, pemujaan dan menuduh
orang Islam sebagai kafir. Kesalahan-kesalahan ini akan dibicarakan oleh Mahkamah
Syari’ah sahaja. Ini adalah kesalahan-kesalahan ta’zir yang hukumannya ialah penjara dan/atau denda.
Terdapat
kesalahan-kesalahan yang telah diperuntukkan dalam Penal Code semenjak ia mula
diterima pakai di Brunei tetapi sekarang diperuntukkan juga dan Perintah Kanun
Hukuman Jenayah Syariah 2013. Misalannya seperti curi, samun, rogol, liwat, menyebabkan
kematian orang lain dan menyebabkan kecederaan. Akibatnya, bagi kesalahan-kesalahan ini, terdapat peruntukan yang sama
atau serupa dalam dua undang-undang yang berbeza dengan cara pembuktian yang
berbeza, hukuman yang berbeza, pendakwa yang berbeza malah mahkamah yang
berbeza!
Bagaimana kesalahan-kesalahan itu ditangani? Di manakah kesalahan itu
dilaporkan, di balai Polis atau di pejabat Penguatkuasa Agama? Siapakah yang
akan menyiasat kesalahan tersebut, Polis atau Penguatkuasa Pgama? Siapakah yang
akan mendakwa, Pendakwa Raya atau Pendakwa Syar’ie? Mahkamah manakah yang akan membicarakan
kes-kes itu, Mahkamah Sivil atau Mahkamah Syari’ah?
Mengikut penjelasan
yang di berikan oleh Awang Haji Mohd. Yusree Hj. Junaidi, Penolong Peguamcara
Negara Brunei, kes-kes tersebut akan dilaporkan kepada dan disiasat oleh
Pasukan Polis Diraja Brunei dengan dibantu oleh Unit Penguatkuasa Agama dan
agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang lain, jika berkenaan.
Setelah penyiasatan
selesai dijalankan, kertas siasatan akan dikemukakan kepada Pendakwa Raya.
Penilaian akan dibuat, dengan dibantu oleh Ketua Pendakwa Syar’ie jika perlu,
sama ada terdapat keterangan yang mencukupi bagi pembuktian kesalahan-kesalahan
di bawah Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syari’ah atau jika suspek ingin membuat
pengakuan salah secara iqrar menurut
Perintah Keterangan Mahkamah Syariah dan Perintah Kanun Peraturan Jenayah
Syariah. Dalam hal yang sedemikian, maka kes tersebut akan dipindahkan ke Mahkamah
Syari’ah dengan pendakwaan di buat oleh Pendakwa Syarie dengan dibantu oleh
Timbalan Pendakwa Raya jika perlu. Jika sebaliknya, maka pendakwaan akan
diteruskan di bawah Penal Code di Mahkamah
Sivil.
Dalam kata-kata
lain, walaupun terdapat peruntukan kesalahan dalam dua undang-undang yang
berbeza, seseorang itu hanya akan didakwa sekali sahaja, di bawah salah satu
undang-undang itu.[xxi]
Bolehkah ia dilaksanakan di Malaysia?
Katakanlah
undang-undang seperti yang dibuat oleh Brunei itu hendak dibuat di Malaysia, dalam
kerangka perundangan dan politik di Malaysia pada masa ini, bolehkah ia
dilakukan?
Saya hanya akan
melihatnya dari sudut perundangan.
Dalam membincangkan
isu ini, terlebih dahulu kita perlu mengambil perhatian peruntukan Perlembagaan
Persekutuan mengenai pembahagian bidangkuasa di antara persekutuan dan negeri.
Mengikut Senarail I, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan, “criminal law” (undang-undang jenayah)
terletak di bawah bidangkuasa Persekutuan dan Mahkamah Sivil. Sebaliknya
“kesalahan-kesalahan terhadap suruhan agama Islam” (“offences relating to precepts of Islam”) seperti yang diperuntukkan
dalam Senarai II (Senarai Nagari), Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan
terletak di bawah bidangkuasa Kerajaan Negeri dan Mahkamah Syari’ah.
Kita lihat pula
kepada kesalahan-kesalahan tersebut. Kita dapati, di antaranya ada
kesalahan-kesalahan yang telah pun wujud dalam Penal Code semenjak tahun 1936
dan berkuatkuasa semasa Perlembagaan Persekutuan digubal. Misalannya ialah kesalahan
menyebabkan kematian kepada orang lain, mencuri, merompak, merogol dan
menyababkan kecederaan kepada orang lain. Semestinya kata-kata “criminal law” yang digunakan oleh
penggubal-penggubal itu merujuk, terutama sekali, kepada kesalahan-kesalahan
dalam Penal Code itu. Jika tidak apa lagi yang dipanggil “criminal law” itu? Juga, jika tidak, maka semua perbicaraan
kesalahan-kesalahan di bawah Penal Code di Mahkamah Sivil semenjak Merdeka
adalah tak keperlembagaan, tak sah dan batal. Itu adalah satu pandangan yang
tidak munasabah.
Sebaliknya,
di antara kesalahan-kesalahan itu ada juga kesalahan-kesalahan yang tidak
terdapat dalam Penal Code, malah telah pun diperuntukkkaan dalam Enakmen
Kesalahan Jenayah Syari’ah negeri-negeri. Misalannya ialah persetubuhan luar nikah, menuduh
seorang berzina dan kesalahan-kesalahan berkaitan dengan minuman yang
memabukkan. Bolehlah dihujahkan bahawa kesalahan-kesalahan itu ia bukan “criminal law”.
Jika hukuman-hukuman
hudud dan qisas hendak dikenakan bagi kesalahan-kesalahan jenayah Prsekutuan,
ia hanya boleh dilakukan sebagai undang-undang persekutuan, ia itu, sebagai
undang-undang jenayah dan bukan “kesalahan-kesalahan terhadap suruhan agama
Islam” (“offences relating to precepts of
Islam”) seperti yang diperuntukkan dalam Senarai II (Senarai Nagari),
Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan. Tidak ada apa-apa halangan
keperlembagaan bagi melakukan sedemikian. Parliament boleh memilih apa-apa
hukuman kepada apa-apa kesalahan jenayah, termasuk hukuman mengikut Syari’ah. Dengan
cara itu, penguatkuasaannya boleh meliputi orang Islam dan bukan Islam. Sebagai
undang-undang jenayah ia terletak di bawah bidangkuasa Mahkamah Sivil. Mahkamah
Sivil mempunyai bidangkuasa ke atas orang Islam dan bukan Islam. Untuk Parlimen
Malaysia membuat undang-undang seperti itu, tidak ada pindaan keperlembagaan
yang perlu dibuat dan rang undang-undang itu hanya perlu diluluskan dengan
majority mudah. Keadaan ini bolehlah dibandingkan dengan undang-undang mengenai
perbankan dan kewangan Islam dan takaful.
Perlu ditekankan di
sini, undang-undang jenayah Persekutuaan itu mestilah terpakai kepada semua
orang Islam dan bukan Islam kerana ia adalah undang-undang jenayah dan bukannya
undang-undang peribadi dan kesalahan-kesalahan terhadap suruhan agama Islam (“offences relating to precepts of Islam”)
seperti yang diperuntukkan dalam Senarai II (Senarai Nagari), Jadual
Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan. Jika ia hanya terpakai kepada orang Islam
sahaja, ia akan bercanggah dengan peruntukan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan
kerana itu adalah satu diskriminasi atas alasan agama dan oleh itu tak
keperlembagaan, tak sah dan batal.[xxii]
Bagaimana
dengan kesalahan-kesalahan yang tidak terdapat dalam Penal Code atau mana-mana
undang-undang Persekutuan, malah telah pun diperuntukkan dalam Enakmen
Kesalahan Jenayah Syariah Negeri-Negeri seperti yang saya telah sebutkan tadi?
Bagi kesalahan-kesalahan itu, bolehlah dihujahkan bahawa ia bukan “criminal law”. Bagi saya ia boleh
dijadikan undang-undang Negeri. Tetapi, untuk memakai hukuman hudud kepadanya, ada halangannya, bukan
halangan keperlembagaan tetapi halangan undang-undang Persekutuan[xxiii]
yang menghadkan hukuman yang boleh di peruntukkan untuk dijadikan undang-undang
Negeri dan diberi bidangkuasa kepada Mahkamah Syari’ah. Jika Kerajaan
Persekutuan sanggup meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 untuk membolehkan Badan
Perundangan Negeri mengenakan hukuman hudud
kepada kesalahan-kesalahan itu, Badan Perundangan Negeri bolehlah membuat
undang-undang itu. Sebagai undang-undang Negeri di bawah Senarai II, Jadual
Kesembilan ia hanya terpakai kepada orang-orang Islam dan terletak di bawah
bidangkuasa Mahkamah Syari’ah. Tidak ada isu keperlembagaan di sini.
Jika
dilakukan demikian, maka akan wujudlah suatu keadaan di mana beberpa kesalahan hudud dan qisas menjadi undang-undang jenayah Persekutuan yang terpakai
kepada semua orang Islam dan bukan Islam dan dibicarakan oleh Mahkamah Sivil.
Di samping itu akan ada pula beberapa kesalahan hudud yang menjadi undang-undang Negeri yang hanya terpakai kepada
orang-orang Islam dan dibicarakan oleh Mahkamah Syari’ah. Wajarkah kita
mempunyai undang-undang seperti itu? Saya serahkan kepada tuan-tuan dan
puan-puan untuk menjawab sendiri.
Kebanyakan orang
menyangka, oleh kerana kesalahan-kesalahan itu adalah kesalahan hudud dan qisas mengikut Hukum Syarak dan oleh
kerana agama Islam terletak di bawah bidangkuasa Negeri, maka Badan Perundangan
Negrei boleh membuat undang-undang sedemikian. Paling tinggi, anggapan itu
hanya separuh betul. Di Malaysia, apa-apa undang-undang yang hendak dibuat
mestilah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. Seperti yang saya telah sebut
tadi, ada di antara kesalahan-kesalahan itu yang terletak di bawah bidangkuasa Persekutuan
dan Mahkamah Sivil. Jika kesalahan-kesalahan itu dijadikan kesalahan-kesalahan
di bawah undang-undang Negeri ia adalah tak keperlembagaan, tak sah dan batal.
Jika ia dilakukan
juga oleh Badan Perundangan Negeri, pemakaiannya tidak boleh meliputi orang
bukan Islam. Sebabnya ialah, Perlembagaan hanya memberi kuasa kepada Badan
Perundangan Negeri membuat undang-undang yang terpakai kepada orang-orang yang
manganut agama Islam sahaja. Maka jika Badan Perundangan Negeri membuat
undang-undang menjadikan kesalahan-kesalahan itu terpakai juga kepada orang
bukan Islam, undang-undang itu tak keperlembagan, tak sah dan batal. Mahkamah Syari’ah
juga tidak mempunyai bidangkuasa terhadap orang bukan Islam. Jika Badan Perundangan
Negeri membuat undang-undang memberi kuasa kepada Mahkamah Syari’ah untuk
membicarakan orang bukan Islam, undang-undang itu juga tak keperlembagaan, tak
sah dan batal.
Kerapkali kita
dengar orang berkata bahawa kesalahan-kesalahan itu hanya akan terpakai kepada
orang Islam sahaja. Ini pun separuh betul. Sebabnya ialah, pertama, bagi
kesalahan-kesalahan jenayah Persekutuan, kesalahan-kesalahan itu bukanlah
undang-undang peribadi (personal law)
atau kesalahan-kesalahan terhadap suruhan agama Islam” (“offences relating to precepts of Islam”) seperti yang diperuntukkan
dalam Senarai II (Senarai Nagari), Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.
Ia adalah undang-undang awam. Kesalahan itu adalah kesalahan terhadap Negara
(di England, Raja) bukan hanya terhadap mangsanya. Sebab itulah Pendakwa Raya
yang mendakwa, bagi pihak Negara.
Kedua, seperti yang
saya telah katakan tadi, undang-undang yang mengenakan hukuman hudud dan qisas bagi kesalahan-kesalahan jenayah yang terletak di bawah
bidangkuasa Persekutuan itu kepada orang Islam sahaja adalah bercanggah dengan
Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan dan, oleh itu tak keperlembagaan, tak sah
dan batal.
Ketiga, adilkah jika
seorang Islam mencuri harta seorang bukan Islam dia dikenakan hukuman hudud (potong tangan) manakala seorang
bukan Islam mencuri harta seorang Islam dia hanya boleh dikenakan hukuman
penjara dan denda? Sebab itulah dalam undang-undang yang dibuat di Brunei itu,
kesalahan-kesalahan menyebabkan kematian orang lain, menyebabkan kecederaan,
mencuri dan menyamun misalnya terpakai kepada semua orang, Islam dan bukan
Islam. Bagi saya, melaksanakan hukuman hudud dan qisas terhadap orang Islam sahaja bukan sahaja tak keperlembagaan,
tetapi juga tidak adil dan tidak wajar.
Satu perkara lagi
yang perlu disebut ialah, sekurang-kurangnya terdapat satu kesalahan yang tidak
boleh diperuntukkan baik di dalam undang-undang Persekutuan mahupun
undang-undng Negeri kerana ia akan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Kesalahan itu ialah irtidad atau
seorang Islam mengisytiharkan dirinya bukan Islam. Dalam Perintah Kanun Hukuman
Jenayah Syariah 2013 (Brunei), kesalahan itu membawa hukuman mati.[xxiv]
Di Malaysia, peruntukan seperti itu semestinya bercanggah dengan peruntukan
Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.[xxv]
Brunei tiada halangan keperlembagaan untuk memperuntukkan kesalahan seperti itu
kerana ia tidak ada peruntukan seperti Perkara 11 dalam Perlembagaannya. Malah,
jika ada pun, ia boleh tidak diperdulikan atau dipinda oleh Sultan.
Penutup
Kerapkali orang
menyangka bahawa mereka boleh “melaksanakan hukum Allah” (menggunakan ungkapan
mereka) hanya dengan semangat yang berkobar, tangan yang digenggam dan pekikan
takbir yang memekak. Mereka menyangka, tidak kira apa persediaan yang dibuat,
bagaimana ia dilakukan, ia semestinya akan berjalan dengan baik, menjamin
keadilan dan berjaya semata-mata kerana mereka “melaksanakan hukum Allah” atau
mereka tidak fikir langsung mengenainya. Mereka lupa bahawa Sunnah Allah berlaku
di mana-mana. Tentera Islam yang diketuai oleh Rasul Allah sendiri pun pernah
kalah dalam perang Uhud bukan kerana tujuan mereka tidak baik, bukan kerana
iman mereka berkurangan, tetapi kerana pasukan pemanah tidak mematuhi arahan,
meninggal posisi mereka untuk merebut harta rampasan yang membolehkan Khalid
Ibn Walid dan pasukannya memusing dan menyerang dari arah yang berlainan. Dalam
melaksanakan undang-undang pun serupa. Tidak kira undang-undang apa yang hendak
dilaksanakan, jika ia tidak dilaksanakan dengan betul, cekap dan jujur, ia
boleh membawa kepada ketidakadilan. Itu Sunnah Allah, dari apa yang saya faham.
Pelaksanaan sesuatu
undang-undang bukanlah tamat dengan penguatkuasaannya. Lebih penting ialah bagaimana
pelaksanaan itu berjalan, apa kesan dan akibatnya, adakah ia membawa kepada
keadaan masyarakat yang lebih aman dan tenteram dan adakah ia meningkatkan
tahap keadilan di sesebuah negara itu? Kejayaan pelaksanaan hukuman hudud bukanlah terletak kepada berapa
banyak kepala dipancung, berapa orang direjam dan berapa banyak tangan dipotong.
Dari apa yang kita baca mengenai apa yang berlaku di Pakistan,
Nigeria dan Sudan, nampaknya pelaksanaan undang-undang itu masih belum boleh
dikatakan berjalan dengan licin dan meningkatkan keadilan. Kita baca mengenai ketidak
adilan kepada wanita-wanita mangsa rogol yang berakhir dengan dihukum kerana
kesalahan zina, sebab mereka tidak dapat mengemukakan saksi-saksi secukupnya
dan mereka mengandung. Di Pakistan, tuduhan ini ditolak oleh Taqi Usmani, bekas
Hakim Mahkamah Syari’ah Persekutuan Pakistan dan Hakim Mahkamah Agung Pakistan
(Bahagian Rayuan Syari’ah) sambil mengatakan bahawa, semasa beliau menjadi
Hakim, beliau tidak pernah menemui satu kes pun di mana seorang perempuan yang
melaporkan dia dirogol berahkir dengan dihukum kerana berzina.[xxvi]
Kita terima kenyataannya, tetapi bagaimana dengan kes-kes yang tidak pergi
kepadanya, terutama sekali di kawasan pedalaman? Kita tidak tahu hakikat yang
sebenar. Apa yang kita pasti ialah, setelah “berlaku tunjuk perasaan setiap hari” kesalahan rogol dikeluarkan
daripada Hudud Ordinance dan masukkan semula ke dalam Penal Code dan
dibicarakan oleh Mahkamah Sivil semula sehinggalah sekarang. Di sini saya
memetik kata-kata Dr. Anwarul Haq, seorang rakyat Pakistan yang berkhidmat
dengan Kerajaan Brunei selama kira-kira tiga puluh tahun, antara lain, untuk menggubal
Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syari’ah 2013 yang kita sedang bincangkan ini. Soalan:
Mengapa “berlaku tunjuk perasaan setiap
hari” dan mengapa kesalahan rogol sahaja yang dikeluarkan daripada Hudud
Ordinance dan dimasukkan semula ke dalam Penal Code? Semesatinya tunjuk
perasaan itu berkaitan dengan kesalahan rogol. Mengapa?
Mengenai Nigeria, saya bertanya Hakim Ibrahim Bukar,
Ketua Hakim Mahkamah Tinggi, Wilayah Persekutuan, Abuja, Nigeria mengenai
pegalaman Nigeria. Dalam jawapannya kepada saya melalui email pada 10 Disember
2013, beliau berkata dan saya petik sepenuhnya dengan terjemahan saya sendiri:
“Memang betul sistem
perundangan syariah telah diperkenalkan di lebih kurang 10 buah negeri di
bahagian utara Nigeria. Sebagaimana yang tuan sedia maklum Nigeria adalah
sebuah Persekutuan yang terdiri daripada 36 buah negeri dan sebuah Wilayah
Persekutuan. Sistem itu telah diperkenalkan di negeri-negeri itu secara
tergesa-gesa dan lebih kerana keuntungan politik daripada pentingannya dan keperluannya.
Tambahan lagi, idea itu timbul di negeri-negeri itu dan diperkenalkan tanpa rundingan
dan pandangan Kerajaan Persekutuan. Di Nigeria, Jabatan Polis, Jabatan Penjara
dan undang-undang keterangan terletak di bawah senarai bidangkuasa eksklusif
Kerajaan Persekutuan. Tanpa “peralatan” itu, keadilan jenayah tidak boleh ditadbirkan
dengan berkesan. Keadaan ini telah memberi kesan kepada innovasi itu. Kedua, kegagalan kerajaan untuk melakukan
orientasi kepada anggota masyarakat yang terlibat dan membolehkan masyarakat
bukan Islam di kawasan itu menghargai (appreciate) bahawa sistem itu hanya
terpakai kepada orang Islam sahaja menyebabkan sistem itu ditentang. Kebanyakan
pengamal undang-undang tidak mahir dalam syariah. Ini juga adalah satu faktor
yang menghalang kejayaan pelaksanaannya. Kesimpulannya, pengenalan keadilan
jenyah syariah, disebabkan oleh faktor-faktor ini dan lain-lain, tidaklah boleh
dikatakan satu usaha yang berjaya. Malah, di kebelakangan ini, kita tidak langsung
mendengar hukuman hudud dikenakan. Kebanyakan, jika tidak semua, hukuman yang
telah dijatuhkan telah dibuat rayuan. Dalam keadaan itu, jawapan saya kepada
soalan tuan ialah pelaksanaan hudud tidak atau masih belum diterima
sepenuhnya.”[xxvii]
Lebih
kurang sepuluh tahun dahulu, di satu persidangan di IKIM, Prof. Dr. Ibraheem
Sulaiman daripada Centre of
Islamic Studies, Ahmadu Bello University, Nigeria, antra lain, mengatakan
bahawa pelaksanaan Syari’ah di Nigeria berlaku dengan cara mengejut dan
tergesa-gesa.
Dalam satu rencana
bertajuk “Enforcement of Hudood Punishments under
Islamic Law in Nigeria: Implications for a Plural Legal System” yang
ditulis oleh Aminu Adamu Bello
dari Faculty of Law, University of
Abuja, Nigeria, penulis itu merumuskan bahawa “..... data tidak menyokong kenyataan bahawa pelaksanaan hukuman hudud
mempunyai apa-apa kesan ke atas kelakuan anti-sosial, terutama sekali rompakan
bersenjata (hibara) di negeri-negeri itu.” (Terjemahan saya”). [xxviii]
Mengikut rencana itu, “Setakat ini
terdapat tidak kurang daripada 23 orang yang sedang menunggu hukuman potong
tangan dan rejam di Negeri Bauchi sahaja. Banyak daripada mereka telah berada
dalam penjara lebih kurang tujuh tahun tanpa pegesahan (“ratification”) atau sebaliknya terhadap
hukuman mereka oleh kerajaan negeri.”(Terjemahan saya) [xxix]
Mengapa kerajaan
negeri tidak mengesahkan hukuman-hukuman itu? Jawapannya, “......Gavnor-Gavnor itu mengatakan bahawa mereka tidak dapat
mengesahkan hukuman-hukuman itu kerana hakim-hakim Mahkamah Syari’ah telah
menjatuhkan hukuman-hukuman itu dengan tergsa-tergesa tanpa mamatuhi proses
perundangan.’” (Terjemahan saya).[xxx]
Malah, penulis
rencana itu mencadangkan supaya pelaksanaan hukuman hudud dI negeri-negeri berkenaan di gantungkan.
Bagaimana
dengan Sudan? Saya cuba mendapat, termasuk melalui rakan-rakan akademik,
orang-orang yang mempunyai maklumat terus mengenai keadaan di Sudan untuk
mejelaskan kepada kita keadaan sebenar di Sudan tetapi tidak berjaya. Saya
tidak tahu mengapa. Apa yang kita baca dan lihat di internet amatlah membimbangkan.
Tetapi, untuk berlaku adil, kita tidak tahu hal yang sebenar. Maka saya hanya
akan memetik dua kenyatan ini.
Pertama,
saya pernah membaca satu rencana (memanglah saya tidak dapat mencarinya
sekarang) yang mangatakan bahawa, atas sebab-sebab politik, suatu malam,
Presiden Jaafar Nameiri muncul di talivesyen dan mengisytiharkan bahawa mulai
jam 12.00 malam itu Syari’ah akan dilaksanakan sepenuhnya di Sudan. Esoknya
semua aktiviti terhenti. Polis tidak tahu yang hendak dibuat, Pendakwa tidak
tahu apa yang hendak dibuat, Peguam tidak tahu apa yang hendak dibuat dan mahkamah
juga tidak tahu apa yang hendak dibuat. Peguam-Peguam berlari ke kedai-kedai
buku mencari apa-apa buku yang ada mengenai Syari’ah.
Kedua,
kita juga membaca bahawa, dalam bulan Mac 2013, Timbalan Hakim Besar Sudan,
Abdul Rahman Sharfi membuat satu pengumuman bahawa jika doctor-doktor enggan
memotong tangan penjenayah yang disabitkan oleh mahkamah, kerajaan akan melatih
Hakim-Hakim untuk melakukannya sendiri! Malah beliau juga mencadangkan supaya
doktor-doktor yang enggan melaksanakan hukuman itu didakwa.
Saya tidak akan
berhujah mengenai kewajiban melaksanakan hukuman-hukuman itu kerana saya bukan
seorang ulamak. Tetapi, saya ingin menarik perhatian kepada dua perkara.
Pertama, kita tahu bahawa, Umar Ibn Khattab, Khalifah Islam yang kedua, penah tidak
melaksanakan hukuman hudud bagi
kesalahan mencuri di musim kelaparan. Soalan: Adakah pendekatan seperti itu
hanya diberi khusus kepada Umar Ibn Khattab dan terpakai di musim kelaparan
sahaja?
Kedua, matlamat
undang-undang jenayah bukanlah untuk mengenakan hukuman termasuklah sesuatu
jenis hukuman tertentu. Matlamat undang-undang jenayah adalah untuk mewujudkan
ketenteraman awam dan melaksanakan keadilan jika berlaku pelanggaran terhadapnya. Hukuman adalah alat
untuk mencapai matlamat tersebut. Alat bukannya matlamat. Maka, bagaimana alat
itu digunakan perlu diambil kira. Hasilnya akan menjadi pengukur kejayaannya
atau sebaliknya. Mungkin orang akan berhujah bahawa prinsip ini tidak terpakai
kepada hukuman hudud sebab ia adalah
hak Allah. Jika demikian, soalan saya ialah: Bagaimana kita hendak “justify” tindakan Umar Ibn Khattab yang
saya sebutkan itu?
Kita belum boleh
membuat penilaian mengenai pelaksanaan undang-undang itu di Brunei kerana ia
belum dilaksanakan. Mungkin dalam tempoh tiga atau lima tahun lagi kita boleh
melihat bagaimana pelaksanaannya sebenarnya berlaku dan kesannya. Adakah ia meningkatkan
tahap pencapaian keadilan? Adakah ia mengurangkan kadar jenayah seperti yang diharapkan?
Adakah Negara Brunei Darussalam, yang sudah pun aman tenteram itu, akan menjadi
lebih aman dan tenteram? Setakat ini negara-negara yang melaksanakan hukuman hudud, seperti Pakistan, Nigeria dan Sudan
nampaknya masih jauh di belakang berbanding dengan negara-negara yang tidak melaksanakan hukuman hadd seperti Sweden, Norway, Iceland, Denmark
dan Jepun dalam hal ini. Mungkin ada factor-faktor lain.
Kita tidak boleh
menjadikan apa yang kita lihat di Makkah dan Madinah sebagai ukuran.
Orang-orang yang pergi ke sana adalah orang-orang yang hendak mengerjakan ibadat
haji, kebanyakannya mungkin hanya sekali seumur hidup, membawa wang yang cukup
yang mungkin disimpan seumur hidup, berhasrat mendapat haji yang mabrur dan kebanyakannya sudah lanjut
usia dan sudah bertaubat. Semestinyalah mereka tidak akan melakukan
kesalahan-kesalahan jenayah. Sebaliknya, tidakkah peraturan bahawa perempuan
mesti diiringi oleh mahramnya (lelaki) dan hakikat bahawa hingga ke hari ini perempuan
di Saudi Arabia tidak dibenarkan memandu kereta mempunyai kaitannya dengan
keselamatan diri mereka?
Mungkin Brunei akan
membuktikan sesuatu kelak. Kita tunggu dan lihat. Sekurang-kurangnya di Brunei ada
satu perbezaan. Di Brunei pelaksanaannya bukanlah kerana survival politik atau untuk memenangi pilihanraya yang terdekat.
Kerja-kerja ke arahnya telah berjalan kira-kira tiga puluh tahun dan masih
belum selesai.
Di Malaysia? Saya
telah meletakkan faktanya di hadapan tuan-tuan dan puan-puan. Tuan-tuan dan
puan-puan fikirlah sendiri dan buatlah keputusan sendiri.
Terima kasih.
[i]
Saya menggunakan perkataan
“hudud” sebagai perkataan Bahasa Melayu tanpa mengira dalam konteks “singular”
atau “plural”.
[ii]
Perkara 3 Perlembagaan Brunei
[xi]
Perkara 19 Perlembagaan Brunei
[xiii]
Perkara 31 Perlembagaan Brunei
[xiv]
Saya terhutang budi kepada Awang
Haji Mohd. Yusree Hj. Junaidi, Penolong Peguamcara Negara Brunei kerana
memberikan maklumat ini kepada saya.
[xvi]
Perkara 83(4)(l) Perlembagaan
Brunei
[xviii]
Jadual Kesembilan Senarai I
Perlembagaan Persekutuan
[xix]
Jadual Kesembilan Senarai II
Perlembagaan Persekutuan
[xx]
Perkara 4 Perlembagaan
Persekutuan
[xxi]
Seksyen 252 PKHJS 2013
[xxii] Perkara
8(2). Kecuali sebagaimana yang dibenarkan dengan nyata oleh Perlembagaan ini tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara
semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan,
tempat lahir atau
jantina dalam mana-mana undang-undang......
[xxiv]
Seksyen 112 PKHJS 2013
[xxv] 11.
(1) Tiap-tiap orang berhak
menganuti dan
mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.
[xxvii] “It is true that sharia legal system has been
introduced in about 10 states in the northern part of the country. As you know
Nigeria is a federation made up of 36 states and a federal capital Territory.
The system was introduced in those states rather hastily and more for political
gains than for its importance or the need for it. Added to that, the idea was
conceived by the states and introduced in their respective territories without
consultation or input from the federal government. In Nigeria, the police
force, the prison and the law of evidence are under the exclusive legislative
list; thus they are under the Federal Government. Without these apparatus,
criminal justice cannot be effectively administered. That fact has affected the
innovation. Secondly, the failure of Government to conduct proper orientation
of the society to understand its scope and the necessity to make the non Muslim
community within their territory to appreciate that the system apply only to
Muslims has caused the system to be resisted. Most legal practitioners are not
versed in sharia. That too is a minus to its successful take off. On the whole
therefore, the sharia criminal justice is, because of these factors and more,
cannot be said to be a successful venture. I fact, in recent times, one doesn't
hear hudud applied on citizens. Most if not all of those that were pronounced
have attracted appeals. Under the circumstance, my take to your questions is
that, application of hudud is not, at least has not yet been fully accepted.”
[xxviii]
“.....data do not support an assertion that the enforcement of hudood
penalties has had any
effect on the nature of antisocial behaviour, especially armed robbery
(hiraba), in these states.” Saya terhutang budi kepada Tasleem O.I. Akosile, seorang
peguam dari Abuja, Nigeria yang mendapatkan rencana ini untuk saya.
[xxix]
“So far, no fewer than 23
persons are currently awaiting amputation and death by stoning in Bauchi State
alone. Many of the convicts have remained in prison for about seven years
without the ratification or otherwise of their sentences by the state
government”.
[xxx] “.....these
Governors have alleged that their inability to ratify the sentences was because
the Shari’a Court judges ‘hurriedly [passed] such sentences without following
due legal process.’”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan