Isnin, 8 Jun 2015

KONVENSYEN HAK BAGI KANAK-KANAK

KONVENSYEN HAK BAGI KANAK-KANAK
Apakah itu hak?                                                                  

Konvensyen hak kanak-kanak mengandungi 54 artikel kesemuanya. Artikel-artikel daripada 43-54 adalah berkaitan dengan bagaimana orang dewasa dan kerajaan patut bekerja sama untuk memastikan semua kanak-kanak mendapat hak mereka.

Artikel 1
Kesemua kanak-kanak dan remaja yang berumur kurang daripada 18 tahun mempunyai hak yang tertakluk di dalam konvensyen ini.

Artikel 2
Konvensyen ini meliputi semua orang tidak kira bangsa, agama, keupayaan, pendapat mereka atau apa yang mereka katakan, asal keluarga mereka.

Artikel 3
Kesemua badan-badan organisasi yang bekerja untuk kanak-kanak patut berusaha untuk mencapai apa yang terbaik untuk setiap kanak-kanak.

Artikel 4
Pihak kerajaan patut membolehkan kanak-kanak mendapatkan hak-hak ini.

Artikel 5
Pihak kerajaan patut menghormati hak dan tanggungjawab keluarga untuk memberi panduan dan tunjuk ajar kepada anak-anak mereka agar apabila mereka membesar, mereka akan dapat menggunakan hak mereka dengan betul.

Artikel 6
Semua kanak-kanak mempunyai hak terhadap kehidupan. Pihak Kerajaan patut memastikan bahawa kanak-kanak dapat membesar dan meneruskan kehidupan mereka dengan sihat.

Artikel 7
Semua kanak-kanak mempunyai hak untuk terhadap pendaftaran nama dan kewarganegaraan. Juga hak untuk mengetahui penjagaan oleh ibu bapa mereka.

Artikel 8
Pihak kerajaan patut menghormati hak kanak-kanak terhadap nama, kewarganegaraan dan hubungan keluarga.

Artikel 9
Kanak-kanak tidak patut dipisahkan daripada ibu bapa mereka kecuali ia adalah untuk kebaikan mereka. Sebagai contoh sekiranya ibu atau bapa yang mendera atau membiarkan anak-anaknya. Kanak-kanak yang telah terpisah daripada ibu bapa mereka mempunyai hak untuk berhubung dengan kedua-dua ibu bapa mereka, kecuali ia mungkin akan membawa kemudaratan kepada kanak-kanak tersebut.

Artikel 10
Keluarga yang menetap di negara yang berlainan patut dibenarkan untuk mengunjungi negara-negara tersebut agar ibu bapa dan anak-anak mereka dapat menghubungi antara satu sama lain, atau dapat kembali semula sebagai sebuah keluarga.

Artikel 11
Pihak kerajaan patut mengambil langkah untuk menghentikan kanak-kanak daripada dipindah keluar daripada negara asal mereka secara haram.

Artikel 12
Kanak-kanak mempunyai hak untuk menyatakan apa yang mereka fikirkan patut berlaku, apabila orang-orang dewasa membuat keputusan yang memberi kesan kepada mereka, dan melibatkan pandangan dan pendapat daripada mereka.

Artikel 13
Kanak-kanak berhak untuk mendapatkan maklumat serta berkongsi maklumat, asalkan maklumat tersebut tidak membawa kemudaratan kepada mereka ataupun orang lain.

Artikel 14
Kanak-kanak berhak untuk berfikir dan percaya terhadap sesuatu dan menuruti kepercayaan agama mereka, asalkan ianya tidak mengganggu orang lain daripada menikmati hak mereka. Ibu bapa juga patut memberi tunjuk ajar kepada anak-anak mereka berkenaan dengan perkara ini.

Artikel 15
Kanak-kanak berhak untuk bertemu dan melibatkan diri di dalam kumpulan dan badan organisasi, asalkan ia tidak mengganggu orang lain daripada menikmati hak mereka.  

Artikel 16
Kanak-kanak mempunyai hak peribadi. Undang-undang patut melindungi mereka daripada serangan terhadap cara kehidupan mereka, nama baik mereka, keluarga mereka dan tempat tinggal mereka.



Article 17
Kanak-kanak mempunyai hak terhadap maklumat yang tepat dari media masa. Televisyen, radio dan surat khabar  patut memberikan maklumat yang boleh difahami oleh kanak-kanak, dan ia juga tidak patut memberikan bahan-bahan yang boleh membawa kemudaratan kepada kanak-kanak.

Artikel 18
Kedua-dua ibu bapa berkongsi tanggungjawab di dalam membesarkan anak-anak mereka, dan selalu memikirkan apa yang terbaik untuk setiap anak-anak mereka. Pihak kerajaan patut membantu ibu bapa dengan memberikan perkhidmatan yang dapat memberi sokongan kepada ibu bapa, terutama sekali apabila kedua-dua ibu bapa bekerja.

Artikel 19
Pihak kerajaan patut memastikan bahawa kanak-kanak dijaga dengan baik, dan dilindungi daripada sebarang bentuk keganasan, penderaan serta terbiar oleh ibu bapa mereka, atau penjaga mereka.

Artikel 20
Kanak-kanak yang tidak dapat dijaga oleh keluarga mereka sendiri, mestilah dijaga dengan baik oleh penjaga yang dapat menghormati agama, budaya dan bahasa kanak-kanak tersebut.

Artikel 21
Apabila kanak-kanak diambil sebagai anak angkat, perkara yang utama patut difikirkan adalah apa yang terbaik untuk mereka. Perkara yang sama juga patut dipertimbangkan tidak kira sama ada kanak-kanak tersebut diambil sebagai anak angkat di dalam negara di mana mereka dilahirkan, atau sekiranya mereka telah diambil untuk tinggal di negara yang lain.

Artikel 22
Kanak-kanak yang memasuki sesebuah negara sebagai seorang pelarian patut mempunyai hak yang sama dengan kanak-kanak yang telah dilahirkan di negara tersebut.

Artikel 23
Kanak-kanak yang cacat anggota patut diberikan penjagaan dan sokongan yang khusus agar mereka dapat melalui kehidupan dengan lebih bermakna dan lebih berdikari.

Artikel 24
Kanak-kanak mempunyai hak terhadap penjagaan kesihatan yang berkualiti, air yang bersih, makanan berkhasiat dan persekitaran yang bersih, agar mereka dapat mengekalkan kesihatan mereka. Negara-negara yang kaya patut membantu negara-negara yang miskin untuk mencapainya.



Artikel 25
Kanak-kanak yang dijaga oleh penguatkuasa tempatan, dan bukan oleh ibu bapa mereka, haruslah dijaga dan dikaji situasi mereka dari semasa ke semasa.

Artikel 26
Pihak kerajaan patut memberikan bantuan kewangan kepada kanak-kanak daripada keluarga yang amat memerlukannya.

Artikel 27
Kanak-kanak mempunyai hak terhadap tahap piawai kehidupam yang baik untuk memenuhi keperluan fizikal dan mental mereka. Pihak kerajaan harus membantu keluarga-keluarga yang tidak mampu untuk memberikannya.

Artikel 28
Kanak-kanak mempunyai hak terhadap pendidikan. Disiplin di sekolah patut menghormati maruah kanak-kanak. Pendidikan primer patut diberikan secara percuma. Negara-negara yang kaya patut membantu negara-negara yang miskin untuk mencapainya.

Artikel 29
Pendidikan membolehkan kanak-kanak memajukan dan memperkembangkan personaliti dan kebolehan mereka sepenuhnya. Ia juga patut menggalakkan kanak-kanak untuk menghormati ibu bapa mereka, begitu juga dengan budaya mereka dan budaya yang lain.

Artikel 30
Kanak-kanak mempunyai hak untuk belajar dan menggunakan bahasa dan juga adat-adat keluarga mereka, tidak kira sama ada ia dikongsi bersama dengan kebanyakan penduduk di dalam sesebuah negara tersebut atau tidak.

Artikel 31
Semua kanak-kanak mempunyai hak untuk bermain dan menenangkan fikiran, dan juga untuk melibatkan diri di dalam pelbagai jenis aktiviti.

Artikel 32
Pihak kerajaan patut melindungi kanak-kanak daripada pekerjaan yang merbahaya, atau pekerjaan yang boleh membawa kemudaratan terhadap kesihatan dan pendidikan mereka.

Artikel 33
Pihak kerajaan patut memberikan cara untuk melindungi kanak-kanak daripada bahaya dadah.


Artikel 34
Pihak kerajaan patut melindungi kanak-kanak daripada penderaan seksual.

Artikel 35
Pihak kerajaan patut memastikan bahawa kanak-kanak tidak diculik dan diperdagangkan.

Artikel 36
Semua kanak-kanak patut dilindungi daripada sebarang aktiviti yang boleh memudaratkan perkembangan mereka.

Artikel 37
Kanak-kanak yang telah melakukan kesalahan tidak patut diberi layanan yang teruk. Mereka juga tidak patut dimasukkan ke dalam penjara bersama-sama dengan orang dewasa dan mereka patut dapat menghubungi keluarga mereka secara berterusan.

Artikel 38
Pihak Kerajaan patut melarang kanak-kanak yang berumur kurang daripada 15 tahun untuk sertai tentera. Kanak-kanak di dalam zon-zon peperangan patut diberikan perlindungan khas.

Artikel 39
Kanak-kanak yang terbiar atau yang telah didera patut menerima bantuan khas untuk mengembalikan rasa hormat diri mereka.

Artikel 40
Kanak-kanak yang telah dituduh melakukan kesalahan  patut menerima bantuan guaman. Hukuman penjara untuk kanak-kanak patut hanya dilaksanakan untuk kesalahan-kesalahan yang serius.  

Artikel 41
Sekiranya undang-undang yang wujud di sesebuah negara itu memberi perlindungan yang lebih baik daripada konvensyen ini maka undang-undang tersebut patut dikekalkan.

Artikel 42
Pihak kerajaan patut memberitahu kepada kesemua ibu bapa dan kanak-kanak mengenai konvensyen ini.


Untuk maklumat lebih lanjut mengenai konvensyen ini, sila layari:


Tiada ulasan:

Catat Ulasan