HAK JAGAAN KANAK-KANAK :
KONFLIK PERUNDANGAN KES HAK JAGAAN KANAK-KANAK ISLAM KEPADA PENJAGA BUKAN ISLAM
DI MALAYSIA
Abstrak
Hak
untuk mendapatkan perintah penjagaan bagi orang bukan Islam telah diperuntukkan
di dalam Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta
164) dan Enakmen Keluarga Islam. Artikel ini bertujuan untuk membincangkan
apakah pertimbangan yang diambil kira oleh mahkamah dalam membuat perintah
mengenai hak penjagaan kanak-kanak bagi kes yang melibatkan isu berlainan
agama. Artikel ini menggunakan pendekatan kajian perpusatakaan dan analisis
hasil dapatan kajian yang mana dibahagikan kepada empat bahagian. Pertama,
pengenalan mengenai kajian. Kedua, perbincangan mengenai peruntukkan hak jagaan
anak di bawah statuori di Mahkamah Sivil dan perundangan Islam termasuk
peruntukkan mengenainya di Mahkamah Syariah. Ketiga, perbincangan mengenai
kes-kes duluan yang diputuskan di Mahkamah Sivil di Malaysia berkenaan dengan
hak penjagaan serta isu-isu semasa yang berhubungan dengan konflik perundangan
bidangkuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil. Keempat, menganalisis hasil
penemuan kajian mengenai penghakiman hak penjagaan dan mencadangkan beberapa
alternatif penyelesaian. Dapatan awal artikel ini merumuskan bahawa Mahkamah
dalam memberikan hak penjagaan akan melihat kepada faktor kebajikan seperti isu
umur dan jantina anak-anak, kehendak anak-anak, kehendak ibu bapa dan agama,
latar belakang adat dan keturunan. Artikel ini juga mendapati bahawa hak untuk
menentukan agama anak yang di bawah umur 18 tahun adalah di bawah hak ibu bapa
atau penjaga namun ianya bukan pemutus kata untuk seseorang Hakim meletakkan
hak jagaan kepada mereka.
Kata
Kunc : Hak Jagaan Kanak-Kanak, Orang Bukan Islam,Konflik Perundangan,
Kebajikan.
Abstract
The right to a care order for
the non-Muslims have been provided for in the Act Law Reform (Marriage and
Divorce) Act 1976 (Act 164) and the Islamic Family Enactment. This article aims
to discuss the considerations taken into account by the court in making the
order regarding custody of children in cases involving issues of different
religions. This article uses the library study and analysis of the results of
the study, which is divided into four parts. First, the introduction of the
study. Second, the discussion about child custody provisions under statuori in
civil court and Islamic law, including the provisions thereof in court. Third,
the discussion on precedent cases decided in civil court in respect of custody
and issues relating to conflicts of laws and jurisdiction of the Syariah Court
and Civil Court. Fourth, analyze the findings of the judicial custody and
propose some alternative solutions. This article summarizes the initial
findings that the court in custody will see to the welfare of factors such as
age and gender issues, children, children's wants, needs of parents and
religion, custom and hereditary background. This article also found that the
right to determine the religion of children under the age of 18 is below the
rights of parents or guardians breaker but it is not the word for a judge to
place their custody.
Keywords: Rights of the Child
Care, Non-Muslims, Conflicts of Law, Welfare.
PENGENALAN
Hak penjagaan anak bukan satu
isu yang baru bahkan ia telah lama dikanunkan di dalam peruntukkan perundangan
di Malaysia dalam mengatasi permasalahan mengenai perebutan hak jagaan anak.
Misalnya, Akta Penjagaan Kanak-Kanak 1961, Akta Pembaharuan (Perkahwinan &
Perceraian) 1976, Ordinan Penjagaan Kanak-Kanak di Sabah dan Sarawak telah
memberikan seorang penjaga hak-hak seperti menentukan pendidikan anak-anak,
memberi nama anak, tindakan disiplin, pemilihan agama, pentadbiran harta,
persetujuan untuk berkahwin bagi yang berumur di bawah 21 tahun, perubatan dan
sebagainya yang mana lazimnya satu pihak mendapat hak penjagaan anak akan
mempunyai penjagaan ke atas anak itu semnetara pihak lain yang berkepentingan
akan mendapat akses melawat dan melihat anak tersebut.
Dalam konteks kehidupan masyarakat
majmuk di Malaysia yang berbilang kaum dan agama, isu penjagaan anak selalu
dibahaskan apabila berlaku kematian suami dan isteri atau salah satu pihak
memeluk agama lain. Setelah kematian pasangan suami isteri, anak mereka pula
lebih cenderung untuk memeluk agama Islam dan mahu tinggal bersama seseorang
beragama Islam yang mana bukan merupakan ahli keluarganya. Sekiranya anak
tersebut masih lagi berumur 18 tahun ke bawah, maka status agamanya terikat
dengan kemahuan ibu bapa mereka atau penjaganya. Perkara 12 (4) Perlembagaan
Persekutuan memperuntukkan: "Bagi maksud Fasal (3), agama bagi seseorang
yang berumur kurang daripada lapan belas tahun adalah ditetapkan oleh ibu bapa
atau penjaganya".,Jadi,
bagaimanakah hak penjagaan anak yang telah
memeluk agama Islam tersebut ditentukan oleh Mahkamah dari sudut jagaan dan
status agamanya? Adakah terdapat pertindihan bidangkuasa antara mahkamah Sivil
dan Mahkamah Syariah? Oleh itu, kajian ini akan membincangkan mengenai
pertimbangan hakim dalam menentukan hak penjagaan anak bagi orang bukan Islam
dalam isu yang melibatkan anak telah memeluk agama Islam dan cenderung untuk
tinggal bersama penjaga yang beragama Islam.
DEFINASI ANAK
Seksyen 87 Akta
Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164)
menjelaskan “Perkataan ‘anak’ yang disebut dalam Akta ini merujuk kepada ‘anak daripada
perkahwinan’ yang berumur di bawah 18 tahun”. Ini telah diperuntukkan dalam
seksyen 2 Akta ini dan Akta Umur Dewasa 1971 melalui seksyen 2 dan 4(c) mentakrifkan
seseorang itu belum dewasa sehingga ia mencapai umur 18 tahun melainkan
diperuntukan dalam mana-mana undang-undang bertulis.
Sementara itu Akta Penjagaan Kanak-kanak 1961
telah membuat sedikit pengkelasan mengikut agama. Seksyen 2(2)(a) (i) dan (ii)
Akta tersebut meletakkan umur 21 tahun sebagai umur dewasa bagi kanak-kanak
bukan Islam dan 18 tahun bagi kanak-kanak beragama Islam.
PRINSIP AM HAK JAGAAN ANAK DI
MALAYSIA
Seseorang yang meninggal
dunia atau bercerai atau melakukan pertukaran agama dengan meninggalkan
anak-anak akan menyebabkan anak-anak hilang tempat untuk bergantung, dengan
erti kata lain membiarkan penjagaan anak boleh membawa kepada kebinasaan dan
kemudaratan kepada diri anak-anak tersebut. Apabila seseorang itu meninggal
dunia dan bercerai, adalah penting warisnya atau sesiapa untuk memastikan
kebajikan anak-anak itu terjamin. Anak-anak tersebut tidak mampu untuk
menguruskan diri sendiri perlu diberi perhatian oleh masyarakat.
Mazhab
Syafie berpendapat bahawa penjagaan kanak-kanak itu ialah hak ibu, ibu kepada
ibu (nenek sebelah ibu) hingga ke atas dengan syarat dia mestilah pewaris,
kemudian bapa kepada kanak-kanak tersebut, ibu kepada bapa kanak-kanak, ibu
kepada ibu kepada bapa kanak-kanak hingga ke atas dengan syarat mereka adalah
pewaris, barulah disusuli orang yang paling dekat daripada kerabat-kerabat ibu,
seterusnya orang yang paling dekat daripada kerabat-kerabat bapa kanak-kanak
itu.
Pada
kebiasaannya, Mahkamah akan melantik seorang penjaga kepada anak-anak ini untuk
mengurus dan memastikan kebajikan anak–anak ini berterusan sehingga mereka
telah dewasa, atau untuk menentukan tentang hak jagaan anak selepas berlakunya
perceraian. Hal ini sejajar dengan
prinsip yang telah dinyatakan dalam Enakmen Keluarga Islam Negeri Selangor :
“Ibu adalah yang paling berhak dari segala orang bagi menjaga anak
kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas
perkahwinannya dibubarkan”.
Peruntukkan ini menunjukkan bahawa
ibu merupakan individu yang paling layak untuk mendapat hak penjagaan anak.
Walaupun Syarak telah menetapkan bahawa, ibu merupakan orang yang paling berhak
terhadap hak dan tanggungjawab hadanah, tetapi hak dan tanggungjawab tersebut
tidak akan diberikan kepada seorang ibu itu sehingga dia dapat memenuhi
syarat-syarat yang telah ditetapkan. Sekiranya seorang ibu itu tidak dapat
memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, maka hak dan tanggungjawab hadanah
tersebut akan jatuh kepada orang yang seterusnya mengikut turutan yang telah
ditetapkan.
Walaubagaimanapun Mahkamah Syariah meletakkan juga faktor kebajikan anak dalam
memperolehi hak penjagaan anak.
Di Mahkamah Sivil, selepas Mahkamah
mengeluarkan sesuatu dekri sama ada dekri perceraian atau perpisahan kehakiman,
ia boleh membuat perintah menetapkan siapa yang layak dan siapa yang tidak
untuk menjaga anak. Mahkamah mempunyai kuasa untuk memerintah seseorang anak
itu diletakkan di bawah jagaan pihak lain selain ibu bapanya sendiri atas
alasan terkecuali bagi kebajikan kanak-kanak terlibat. Ini menunjukkan kuasa
mutlak untuk menjaga anak-anak tidak semestinya terletak pada ibu atau bapa
tetapi termasuk juga pihak ketiga atau badan-badan, institusi tertentu jika
didapati kemungkinan kebajikan anak-anak akan terjejas. Walau bagaimanapun,
dalam membuat pertimbangan tentang kanak-kanak ini, Mahkamah masih lagi
mengambil perhatian terhadap kehendak ibu bapa terlibat di samping kemahuan
anak-anak itu sendiri.
Amalan kedua-dua Mahkamah samaada
Sivil mahupun Syariah masih lagi meletakkan kebajikan anak sebagai faktor
pertimbangan Hakim dalam membenarkan tuntutan hak jagaan anak. Namun begitu,
skop kebajikan anak adalah begitu luas sekali untuk dibincangkan.
Ini kerana kebajikan kanak-kanak ini akan sentiasa berubah-ubah mengikut
persoalan serta isu yang diperbincangkan samaada soal penjagaan, kawalan akses
perlindungan atau pengangkatan. Ini memberikan ruang yang luas kepad budi
bicara Mahkamah untuk digunakan bagi menjelaskan kekaburan yang ada terhadap
maksud tersebut.
HAK
SESEORANGAN UNTUK MEMULAKAN PEMBICARAAN DI MAHKAMAH
Locus Standi perlu dipenuhi
oleh seseorang dalam membolehkan Hakim mendengar tuntutan yang dibawanya di
Mahkamah. Ketiadaan locus standi akan menyebabkan tuntutan Plaintif boleh
diketepikan oleh Defendan dengan begitu mudah sahaja, malahan Hakim juga
dibenarkan untuk membuang tuntutan seseorang yang tiadak berkepentingan dalam
tuntutannya. Ini bermakna seseorang yang mempunyai locus standi adalah
seseorang yang mempunyai hak untuk berdiri di dalam Mahkamah. Di bawah Common Law, locus standi
merujuk kepada hak seseorangan untuk memulakan pembicaraan di Mahkamah. Dalam
kes England, R lwn Commissioner of Police for the Metropolis ex p. Blackburn[i]. Lord Denning memutuskan akan menidakkan locus
standi kepada seseorang penyibuk yang menyentuhi hal yang tidak berkaitan
dengannya tetapi akan memberikan locus standi kepada sesiapa yang mempunyai isu
benar di mana sesuatu yang dilakukan atau bakal berlaku mempunyai kesan ke
atasnya.
Prinsip locus standi banyak
dihujahkan di dalam pelaksanaan kes-kes yang terdahulu sebagai panduan para
Hakim dalam menentukan sama ada seseorang itu mempunyai hak untuk menyuarakan
tuntutan di Mahkamah atau tidak. Seorang individu itu boleh memohon satu deklarasi
dari mahkamah jika dia mempunyai satu kausa tindakan (cause of action) di sisi
common law atau untuk melindungi suatu hak berasaskan statut, atau jika dia
akan mengalami mudarat disebabkan tindakan defendan.
Walaubagaimanapun, pada tahun 1980, cara penentuan Locus
Standi yang mengambil pendekatan secara liberal telah berakhir dan Mahkamah
Agong ketika itu menakrifkan Locus Standi secara sempit dan keras. Seterusnya,
Hakim Hashim Yeop Sani menyatakan bahawa untuk membuktikan locus standi, Plaintif
mestilah mampu membuktikan tiga perkara iaitu pertama, Plaintif ada hak yang
diiktiraf di bawah undang-undang, kedua, hak Plaintif itu telah dilanggar atau
dinodai dan ketiga, Plaintif telah mengalami mudarat disebabkan pelanggaran
haknya itu.
Terma ‘Locus
standi’ ini adalah terma dalam bahasa Latin dan di gunakan sebagai
istilah perundangan di Malaysia (samada di Mahkamah Sivil mahupun di Mahkamah
Syariah) yang secara ringkasnya bermaksud: hak untuk membawa sesuatu kes ke
Mahkamah ataupun hak untuk dibicarakan di Mahkamah. Ia merujuk juga kepada hak
untuk mendakwa/menuntut (apabila merujuk kepada locus standi orang yang membuat
tuntutan mahkamah) dan hak untuk di dakwa/di tuntut (apabila merujuk kepada
locus standi orang yang di tuntut).
Namun begitu, Islam tidak terkecuali menyatakan bahawa individu yang berhak
melakukan dakwaan adalah individu yang mempunyai hak terhadap perkara yang
dituntut. Perkara ini bertepatan dengan kaedah fikhiah yang meletakkan
beban membuktikan sesuatu itu ke atas orang yang mendakwa, prinsip ini nyatanya
menerangkan individu yang mendakwa pastinya mempunyai kepentingan terhadap
tuntutannya dan perlulah membuktikan bahawa beliau mempunyai hak di dalam
tuntutan tersebut. Misalnya individu yang bukan merupakan ahli waris kepada sesebuah
keluarga adalah tidak layak untuk menuntut harta pusaka peninggalan si mati
kerana individu tersebut dari segi Hukum Syarak bukanlah orang yang mempunyai
hak dalam tuntutan tersebut.
Dalam hal tuntutan penjagaan anak, seseorang individu
atau sesebuah persatuan yang berkepentingan dengan jagaan anak mempunyai kausa
tindakan untuk menuntut hak jagaan anak. Ini menunjukkan kuasa mutlak untuk menjaga
anak-anak tidak semestinya terletak pada ibu atau bapa atau saudara tetapi
termasuk juga pihak ketiga atau badan-badan, institusi tertentu jika didapati
kemungkinan kebajikan anak-anak kan terjejas. Ini bermakna ibu dan bapa,
badan-badan kebajikan, dan mana-mana orang adalah individu yang mempunyai hak
untuk menuntut hak jagaan anak.
SENARIO PERMASALAHAN HAK
JAGAAN ANAK DI MALAYSIA
Perintah hak jagaan anak
merupakan isu yang sangat kompleks di Malaysia tambahan pula jika ia melibatkan
status agama anak yang berlainan daripada pihak yang menuntut. Hal ini kerana
Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah boleh mendengar tuntutan hak jagaan
kanak-kanak mengikut peruntukkan perundangan yang dikurniakan kepada mereka dan
memberikan perintah yang berbeza berdasarkan kuasa masing-masing. Pendengaran
oleh kedua-dua Mahkamah ini menyebabkan berlakunya konflik perundangan yang
tidak berkesudahan apabila pihak yang beragama Islam mendakwa Mahkamah Sivil
tidak seharusnya mencampuri urusan Mahkamah Syariah manakala pihak yang bukan
beragama Islam menyatakan haknya telah diganggu apabila pihak penentang membuat
tuntutan di Mahkamah Syariah.
Kebiasaannya, isu penjagaan
anak ini pastinya akan mengheret isu status agama anak kerana masing-masing
penjaga mahu menentukan agama anak mengikut agama yang dianuti mereka.
Misalnya pada tahun 2002, Shamala telah menukarkan status agama anaknya tanpa
pengetahuan ibu kepada anak tersebut, dan seterusnya berlaku perebutan hak
jagaan anak.
Pelbagai isu perundangan yang tercetus kesan daripada kes ini antaranya
menyentuh mengenai penentuan agama anak bawah umur oleh penjaga, perintah mahkamah
yang mana harus diikuti, dimanakah hak untuk ibu atau bapa menuntut hak jagaan
anak dan kuasa Mahkamah Syariah dalam menentukan kesahihan pertukaran agama
bagi kanak-kanak bawah umur setelah didaftarkan keislamannya. Isu-isu tersebut
telah membawa keadaan bertambah buruk apabila pihak polis telah menyatakan
tidak akan mengambil bahagian dalam menguatkuasakan perintah baik bagi Mahkamah
Syariah mahupun Mahkamah Sivil.Kenyataan
ini dibuat oleh pihak polis berhubungan dengan kes perebutan hak jagaan anak di
Seremban dan Ipoh yang melibatkan S.Deepa Dan M.Indira Gandhi. Berikutan
daripada perebutan melalui kuasa perundangan tidak mengakhiri konflik tersebut,
malahan ia berlarutan apabila anak lelaki Deepa, V Mithran diculik oleh bekas
suaminya, Izwan Abdullah dari rumahnya di Jelebu pada 9 April sebaik sahaja
Mahkamah Sivil memberikan hak jagaan anak kepada Deepa berdasarkan perkahwinan
Sivil. Sementara itu, Muhammad Ridzuan Abdullah, bekas suami Indiria, ingkar
perintah Mahkamah Tinggi pada 20 Mei apabila dia enggan memulangkan Prasana
Diksa kepada ibunya.
Mengikut peruntukkan di
Wilayah Persekutuan, Kedah dan Perak mensyaratkan salah satu pihak ibu atau
bapa atau penjaga dalam menentukan keislaman anak bawah umur 18 tahun.
Manakala terdapat negeri yang mensyaratkan perlunya persetujuan ibu dan bapa
bagi perkara tersebut.
Ketidakseragaman undang-undang turut menyukarkan isu penjagaan kanak-kanak ini,
namun apa yang penting ialah kebajikan kanak-kanak tersebut perlulah lebih
ditamakan berbanding perkara-perkara lain.
KONFLIK
PERUNDANGAN
Lazimnya
Punca utama pertikaian dalam kes tuntutan hak jagaan anak yang berkaitan dengan
isu status agama si anak ini ialah terhadap bidangkuasa Mahkamah yang akan
mendengar kes tersebut,jika sekiranya pemohon adalah seorang penganut agama
islam maka kes tersebut akan difailakn di mahkamah syariah pada kebiasaannya
perintah Mahkamah Syariah akan mengikut peraturan yang ditetapkan dalam Enakmen
Keluarga Islam yang mengikut prinsip Hukum Syarak dan Mahkamah Sivil pula
mengikut peruntukkan undang-undang yang berkaitan mengenainya yang telah
dikurniakan oleh Perlembagaan Persekutuan yang mana perintah yang dikeluarkan
oleh kedua-dua Mahkamah ini adalah berbeza. Namun dalam kes ini pihak pemohon
hak jagaan adalah bukan islam iaitu datuk dan nenek kepada Albert yang telah
memeluk islam. Isunya ialah, bolehkah
orang bukan Islam yang merupakan waris kepada anak-anak tersebut dikira sebagai
penjaga yang mutlak.
Sekiranya beliau merupakan pemilik mutlak, isu status agama akan dipertikaikan
kerana pastinya si anak yang memeluk agama Islam perlu mengikut status agama
penjaga.
Walaubagaimanapun,
Mahkamah seharusnya tidak terikut-ikut dengan kemahuan yang bertentangan di
antara penuntut-penuntut hak jagaan anak tersebut kerana pewaris kepada anak
tidak seharusnya menjadi kata pemutus dan hanya layak menjadi sebahagian
daripada faktor yang perlu diambil kira oleh Hakim dalam membuat pertimbangan
mengenai kebajikan.
Dengan kata lain, isu utama yang perlu diputuskan oleh mahkamah ialah samaada
penuntut tersebut boleh dianggap sebagai seorang yang layak terhadap hak jagaan
anak dalam memastikan kebajikan anak tidak diabaikan terutamanya dari sudut
moral, fizikal dan mental.
Walau bagaimanapun, sebelum isu ini boleh dibincangkan, Mahkamah haruslah
menentukan bidangkuasanya terlebih dahulu.
Mahkamah Syariah tidak seharusnya
memutuskan bahawa hanya mahkamah Sivil yang patut diberi bidangkuasa untuk
menyelesaikan isu tersebut, padahal perkara yang disenaraikan dalam Seksyen
42(2)(b)(iii) Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam (Negeri Selangor) 2003
melibatkan perkara hadhanah dan jagaan kanak-kanak:
…nafkah
tanggungan, kesahtarafan atau penjagaan (hadhanah) atau jagaan kanak-kanak;…..
Seksyen
95. Akta Undang-Undang Pentadbiran Islam 1993 (Akta 505) bagi maksud bahagian
ini, seseorang yang tidak beragama Islam
boleh masuk Islam jika dia sempurna akal dan mencapai umur lapan belas
tahun atau jika dia belum mencapai umur lapan belas tahun, ibu atau bapa atau
penjaganya mengizinkan kemasukannya.
Walaupun
Akta 164 Bahagian VIII dan Akta Penjagaan Kanak-Kanak 1961 tidak menjadi punca
pertikaian, keterlibatannya secara tidak langsung dalam perkara tersebut tidak
sepatutnya menjadi halangan kepada bidangkuasa Mahkamah Syariah. Pemberian
bidangkuasa kepada Mahkamah Sivil atas sebab sebahagian daripada isu kes
melibatkan hak jagaan anak akan meninggalkan kesan yang serius terhadap
bidangkuasa dan kuasa Mahkamah Syariah dalam hal hadhanah dan penjagaan
kanak-kanak bagi orang Islam.
Tambahan
pula, peruntukkan hak penjagaan anak dan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan
adalah saling berkait rapat dan merupakan aspek yang perlu dalam proses
penentuan orang yang berhak kepada hak jagaan kanak-kanak di antara para waris
dan pihak-pihak lain yang berkepentingan. Oleh itu, mahkamah tidak seharusnya
beranggapan bahawa perkara tersebut tidak termasuk dalam bidangkuasa Mahkamah
Syariah sedangkan hadhanah dan penjagaan kanak-kanak adalah aspek yang sedia
wujud dalam undang-undang kekeluargaan Islam dan tidak semestinya menjadi isu
utama dalam setiap pertikaian.
PENTAFSIRAN
PERKARA 121 (1A) PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN
Perbincangan
tentang bidangkuasa Mahkamah Syariah mestilah merujuk kepada Perkara 121(1A)
Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan:
Mahkamah-mahkamah yang disebut dalam Fasal
(1)[1] tidaklah boleh mempunyai bidangkuasa berkenaan dengan apa-apa perkara
dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah.
Merujuk kepada perkara 74 dan
perenggan 1 Senarai Negeri dalam Perlembagaan, bidangkuasa Mahkamah Syariah
adalah lebih luas dari apa yang diberi dengan nyata kepadanya oleh badan
perundangan negeri yang berkenaan. Mahkamah Syariah hendaklah mempunyai bidangkuasa
ke atas orang-orang yang menganut agama Islam mengenai mana-mana perkara yang
termasuk di dalam perenggan 1 itu. Ia tidak dihadkan kepada apa yang telah
diperuntukan dengan nyata.
Perkara-perkara itu termasuk undang-undang Islam dan undang-undang keluarga
orang yang menganuti agama Islam. Ia termasuk kuasa berhubung dengan
kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh orang-orang menganuti agama Islam
terhadap ajaran agama itu.
Fakta bahawa badan perundangan telah
diberi kuasa membuat undang-undang akan tetapi dia belum membuat demikian,
tidak akan menjejas dari kenyataan bahawa perkara-perkara itu termasuk di bawah
bidangkuasa Mahkamah Syariah, seperti yang dinyatakan dalam perenggan 1 Senarai
Negeri dan bidang kuasa yang mana telah ditarik keluar dari mahkamah-mahkamah
yang disebut di Perkara 121 (1) Perlembagaan. Jika badan perundangan negeri
belum lagi membuat undang-undang khusus dalam perkara itu, ia adalah termasuk
dalam kuasanya membuat demikian pada masa hadapan di bawah peruntukan Perkara
74 Perlembagaan Persekutuan. Oleh kerana itu, apabila perkara itu dipertikaikan
bidangkuasa itu adalah kepunyaan Mahkamah Syariah dan bukan kepunyaan mahkamah
yang disebut dalam Perkara 121 (1) walaupun tidak terdapat peruntukan khas
dalam enakmen-enakmen negeri mengenai perkara itu pada masa isu itu timbul.
Itu adalah maksud Perkara 121 (1A)
apabila ia menyebut dengan jelas bahawa Mahkamah-mahkamah Sivil yang disebut di
Perkara 121 (1), termasuk Mahkamah-mahkamah Tinggi tidak akan ada bidangkuasa
dalam perkara itu. Fakta bahawa Mahkamah-mahkamah Syariah belum dengan nyata
diberi kuasa memutuskan isu yang timbul itu oleh badan perundangan negeri,
tidak bermakna bidangkuasa itu hendaklah dijalankan oleh mahkamah-mahkamah yang
disebutkan di Perkara 121 (1). Isunya bukan sama ada seseorang yang pertikaikan
perkara itu boleh dapat remedi-remedinya akan tetapi isunya ialah bidangkuasa
mahkamah-mahkamah untuk membicarakan perkara yang berkenaan– bidangkuasa awalan
untuk mendengar dan menentukan perkara itu.
Ini bermakna setiap perkara yang
disenaraikan dalam Butiran 1 Senarai 2, Perlembagaan Persekutuan adalah
termasuk dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah tanpa mengambil kira ketiadaan
peruntukan nyata dalam enakmen negeri. Dengan kata lain, kesan kenyataan di
atas adalah Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa yang lebih luas yang tidak
terhad kepada peruntukan yang dinyatakan dalam enakmen-enakmen negeri.
Bidangkuasa tersebut boleh dianggap bidangkuasa semulajadi yang dimiliki oleh
Mahkamah Syariah seperti yang dinyatakan dalam Butiran 1, Senarai 2. Selagi
mana sesuatu perkara itu dinyatakan dalam Senarai 2, Mahkamah Syariah akan
mempunyai bidangkuasa dalam hal tersebut, meskipun Badan Perundangan Negeri
belum membuat undang-undang tentang perkara itu.
Adalah jelas bahawa tujuan Parlimen
dengan adanya Perkara 121 (1A) ialah untuk menyingkirkan bidangkuasa
Mahkamah-mahkamah Tinggi di dalam mana-mana perkara yang termasuk di dalam
bidangkuasa Mahkamah Syariah.
Oleh kerana itu, apabila ada cabaran kepada bidangkuasa pendekatan yang betul
ialah dengan melihat sama ada Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa dan bukan
sama ada badan perundangan negeri mempunyai kuasa memperuntukkan undang-undang
yang memberi bidangkuasa kepada Mahkamah Syariah. Kesahan undang-undang hanya
boleh dipersoalkan di dalam prosiding berasingan di bawah Perkara 4(3)
Perlembagaan Persekutuan.
Hal ini kerana, sekiranya Mahkamah
Syariah ingin mempunyai bidangkuasa dalam sesuatu perkara, adalah tidak memadai
bagi Badan Perundangan Negeri sekadar mempunyai kuasa untuk menggubal
undang-undang tertentu sahaja tetapi tidak menggubalnya. Badan Perundangan
Negeri perlu memperuntukkan bidangkuasa tersebut kepada Mahkamah Syariah
melalui enakmen negeri dan hanyalah setelah itu Mahkamah Syariah boleh
dikatakan mempunyai bidangkuasa dalam perkara berkenaan.
Walaupun tiada peruntukan nyata
tentang isu pentadbiran dalam enakmen negeri, Mahkamah Syariah masih mempunyai
bidangkuasa. Misalnya, untuk menentukan status agama seseorang samaada beragama
Islam atau sebaliknya kerana bidangkuasa berkenaan undang-undang tersebut boleh
diperoleh secara tersirat daripada peruntukan yang ada. Kaedah umum pentafsiran
undang-undang memperuntukan bahawa sekiranya makna sesuatu statut tidak jelas,
pentafsiran secara tersirat adalah dibolehkan dalam sesetengah kes. Dalam kes
Soon Singh, meskipun tiada peruntukan nyata dalam enakmen negeri tentang
bidangkuasa mahkamah dalam isu keluar daripada agama Islam, mahkamah telah
menggunakan prinsip pentafsiran secara tersirat ini dengan mengambil kira
peruntukan pertukaran agama daripada agama lain kepada Islam.
PANDANGAN
ULAMA' TERHADAP HAK HADANAH BAGI ORANG BUKAN ISLAM TERHADAP KANAK- KANAK
ISLAM
Para ulama' sepakat mengatakan bahawa
seorang Islam mempunyai hak hadanah ke atas kanak- kanak yang beragama Islam
atau yang bukan beragama Islam dari kalangan keluarganya.[24]
Alasan yang diberikan ialah hadanah merupakan hak perwalian (penguasaan) dan
seorang Islam mempunyai hak perwalian (penguasaan) ke atas orang Islam atau
orang yang bukan Islam dari kalangan keluarganya. Berhubung dengan hak hadanah
seseorang yang bukan Islam ke atas kanak-kanak yang bukan Islam dari kalangan
keluarganya, ia juga dibenarkan. Tiada perselisihan ulama dalam perkara
ini.
Berhubung dengan hak hadanah atau
penjagaan seorang yang bukan Islam ke atas kanak-kanak yang beragama Islam dari
kalangan keluarganya, para ulama' telah berselisih pandangan dalam perkara ini.
Fuqaha Islam dari mazhab Hanafi[25],
Maliki[26]
dan Zahiri[27]
berpendapat bahawa seorang yang bukan Islam berhak ke atas penjagaan
kanak-kanak beragama Islam dari kalangan keluarganya. Ini kerana perasaan kasih
sayang tidak akan memberi kesan dengan berbezanya agama di antara mereka.
Mereka juga mengasaskan pandangan mereka kepada keumuman hadith Nabi Muhammad
s.a. w yang tidak membezakan apa jua agama yang dianuti oleh si ibu dan si
anak,
"Sesiapa yang memisahkan seorang
anak daripada ibunya, nescaya Allah akan memisahkannya daripada orang yang
dikasihi pada hari Kiamat.
Sementara itu, para ulama' darpada mazhab Syafi'I, Hambali dan sebahagian
daripada mazhab Maliki berpendapat bahawa seorang yang bukan Islam tidak
mempunyai hak hadanah ke atas kanak-kanak Islam dari kalangan keluarganya.
Antara dalil yang dirujuk ialah firrnan Allah yang bermaksud:
"Allah sama sekali tidak akan memberi jalan kepada orang-orang kafir ke
atas orang-orang yang beriman (untuk memusnahkan mereka)." Menurut mereka
yang di rnaksudkan dengan "...memberi jalan.. ." di dalam ayat ini
ialah perwalian atau penguasaan. Hadanah adalah sebahagian hak perwalian, sama
seperti perwalian dalam perkahwinan dan harta. Oleh itu, tidak wajar bagi
seorang yang bukan Islam mengendalikan hak perwalian ke atas kanak-kanak yang
beragama Islam.
Mereka juga mengatakan sekiranya hak
hadanah gugur daripada seorang Islam yang fasiq, maka menggugurkannya daripada
seorang yang bukan Islam adalah terlebih wajar. Bahkan seorang yang bukan Islam
sekiranya diberikan hak penjagaan ke atas anak yang beragarna Islam,
berkemungkinan besar ia akan memesongkan anak tersebut daripada agama dan
akidah Islam.
Pada dasarnya penulis berpendapat
bahawa perbezaan agama tidak sepatutnya menjadi batu penghalang untuk seorang
menjaga kanak-kanak dari kalangan keluarganya (seperti anaknya, cucunya clan
sebagainya). Ini kerana terdapat hadith-hadith yang pada zahirnya memberi ruang
kepada orang yang bukan Islam membela sama anak kesayangan mereka. Diriwayatkan
bahawa Rasulullah S.A. W ketika menyelesaikan hak penjagaan anak yang menjadi
rebutan antara sahabatnya Rafi' ibn Sinah r.a dan isterinya yang tidak memeluk
Islam, Rasulullah S.A.W telah memberi hak kepada anak tersebut memilih salah
seorang antara mereka berdua. Apabila si anak memilih si ibu, lantas Rasulullah
berdoa agar Allah memberi petunjuk kepada si anak tersebut. Akhirnya, si
anak memilih bapanya. Sekiranya si ibu yang bukan Islam tidak berhak ke atas
anaknya, nescaya Rasulullah S.A. W tidak membuka peluang pemilihan itu.
KONSEP KEBEBASAN BERAAGAMA DALAM MALAYSIA
Kebebasan
beragama merupakan salah satu hak kebebasan asasi yang diiktiraf oleh Malaysia
kepada setiap warganegara di bawah Perlembagaan Persekutuan.[28]
Pada peringkat antarabangsa, pengiktirafan diberikan terhadap hak kebebasan
beragama antaranya melalui instrumen antarabangsa seperti Perisytiharan Sejagat
Hak Asasi Manusia 1948 (UDHR 1948) serta Waad Antarabangsa Berkaitan Hak Sivil
dan Politik 1966 (ICCPR 1966).[29]
Kebanyakan negara di dunia juga mempunyai peruntukan mengenai kebebasan
beragama walaupun liputan terhadap tahap kebebasan khususnya hak untuk menukar
agama berbeza antara sebuah negara dengan negara yang lain.[30]
Pertikaian
mengenai isu agama telah lama wujud sejak zaman penjajahan Inggeris lagi. Hal
ini demikian kerana agama Islam mendapat pengiktirafan Inggeris sebagai
terpakai dalam soal peribadi masyarakat Tanah Melayu pada masa tersebut.[31] Isu
agama termasuklah hak menukar agama diakui masih wujud secara berterusan dan
sukar dibendung selagi undang-undang sedia ada tidak diperkemas.
Dalam
kes Re Maria Hertogh.[32]
Mahkamah Tinggi Singapura dalam kes ini memutuskan bahawa ibu bapa asal
mempunyai hak penjagaan dan menentukan agama kanak-kanak berkenaan. Walaupun
hasrat kanak-kanak dalam kes ini untuk terus tinggal di Tanah Melayu bersama
ibu angkatnya dan kekal dalam agama Islam, mahkamah mengambil kira faktor umur kanak-kanak
terbabit yang baru berusia 13 tahun. Walaupun melibatkan isu kebebasan agama
kanak-kanak di bawah umur 18 tahun, kes ini boleh digunakan bagi melihat
permulaan timbulnya isu kebebasan beragama di Malaysia.[33]
Dalam
kes Teoh Eng Huat lwn Kadhi Pasir Mas [1990] 2 MLJ 301 soalnya sama adi
seorang gadis Cina umur 17 tahun 8 bulan berhak memeluk agama Islam tanpa
pengetahuan dan persetujuan bapanya. Di Mahkamah Tinggi telah diputuskan oleh
kerana gadis Cina itu telah memeluk agama Islam dengan sukarelanya dan tidak
dipaksa oleh sesiapa dia berhak memeluk agama Islam mengikut Perkara 11(1)
Perlembagaan Malaysia yang memperuntukkan "Semua orang-orang berhak
menganut dan mengamal ugamanya dan tertakluk kepada fasal (4) menyebarkannya".
Akan
tetapi apabila rayuan dibuat oleh bapa itu ke Mahkamah Agong, Abdul Hamid Ketua
Hakim Negara pada masa itu telah merujuk kepada Perlembagaan Malaysia dan
khususnya Perkara 3 yang menyebut Islam adalah ugama Persekutuan; dan juga pada
pendapat Suruhanjaya Reid mengenai Perkara 3 itu. Seperti yang telah dinyatakan
dahulu Suruhanjaya Reid tidak menyokong diadakan peruntukan seperti Perkara 3
akan Hakim yang arif itu beliau berkata "Pada asas iaitu Perlembagaan kita
digubal dan diisytiharkan." Beliau merujuk kepada Perkara 12(3) dan (4)
Perlembagaan yang memperuntukkan;-
(3)
Tiada sesiapa pun boleh diwajibkan menerima ajaran-ajaran mengenai apa-apa
ugama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau sembahyang sesuatu
ugama yang lain daripada ugamanya sendiri.
(4)
Bagi maksud fasal (3) ugama bagi seseorang yang berumur kurang daripada lapan
belas tahun adalah ditetapkan oleh ibubapa atau penjaganya.
Sungguhpun
fasal (4) itu menyebut "untuk maksud fasal (3) iaitu mengenai pengajaran
ugama di sekolah, Hakim yang arif itu telah menggunakan fasal itu untuk
memutuskan seorang ibubapa atau penjaga berhak menentukan agama seorang yang
belum dewasa. Sebetulnya beliau tidak perlu membuat keputusan itu oleh kerana
pada masa itu gadis itu telah pun berumur lebih dari lapan belas tahun.
Keputusannya ialah dianggap obiter dicta atau pandangan sahaja, akan
tetapi sayangnya ia telah diterima pakai dalam undang-undang di Malaysia.[34]
Seksyen 95 Akta Pentadbiran Undang-undang
Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) pula memperuntuk bahawa
seseorang kanak-kanak yang belum mencapai umur 18 tahun boleh masuk Islam jika
ibu atau bapa atau penjaga mengizinkannya.
"Antara kes yang boleh dirujuk yang
berkaitan dengan hak penentuan agama anak ialah kes Subashini Rajasingam lwn
Saravanan Thangathoray, di mana Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa
bapa kanak-kanak tersebut mempunyai kuasa untuk mengislamkan anaknya
berdasarkan Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan
"Ini adalah kerana berdasarkan Perkara 12 (4) itu, agama seseorang
yang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapa atau
penjaganya, oleh itu dalam kes ini suami adalah berhak untuk mengislamkan
anaknya walaupun isterinya tidak bersetuju.
Dalam
kes Re Susie Teoh, Hakim Mahkamah Tinggi YA Abdul Malek, memutuskan bahawa
seorang bapa tidak mempunyai kuasa di bawah Akta Penjagaan Anak 1961 untuk
memilih agama bagi anaknya. Anaknya mempunyai hak di bawah Perkara 11(1)
Perlembagaan Persekutuan untuk memilih agamanya sendiri. Ringkasnya, seseorang bukan Islam
yang berumur di bawah umur 18 tahun boleh menentukan agamanya sendiri
dan tidak tertakluk kepada kehendak penjaganya. Tetapi, keputusan ini
dibalikkan di Mahkamah Agung. Di Mahkamah Agung telah diputuskan di bawah semua
keadaan, demi kepentingan negara yang lebih utama (in the wider interests of
the nation), seseorang minorit tidak mempunyai hak automatik untuk menerima
ajaran berkaitan sesuatu agama tanpa kebenaran ibu bapa atau penjaganya. Dalam
keputusan ini, kepentingan ramai mengatasi hak seorang kanak-kanak untuk
memilih agamanya yang dijamin di bawah Perkara 11. [35]
FAKTOR
PENENTUAN PERINTAH MAHKAMAH
Dalam
membuat keputusan terhadap kes ini, boleh disimpulkan bahawa Mahkamah Syariah
perlu memberikan penekanan yang berat kepada frasa “memperuntukkan
bidangkuasa”. Perkara berkaitan penentuan status agama anak adalah termasuk
dalam kuasa perundangan Persekutuan yang eksklusif seperti yang diperuntukkan
dalam Perkara 12(4) maka Badan Perundangan Negeri tidak mempunyai kuasa untuk menggubal
undang-undang dalam perkara tersebut. Oleh yang demikian, Badan Perundangan
Negeri tidak boleh memperuntukkan bidangkuasa kepada Mahkamah Syariah untuk
memutuskan hal-hal status agama Islam bagi orang bukan Islam di bawah umur.
Tambahan
pula, ia telah menjadi amalan Mahkamah Sivil di Malaysia untuk memutuskan
perkara yang bersangkut paut dengan undang-undang penentuan status agama kerana
berkait rapat dengan hak penjagaan. Adalah jelas bahawa apabila seseorang bukan
Islam yang mempunyai anak meninggal dunia, hak penjagaan anak tersebut haruslah
dipohon daripada Mahkamah Sivil. Sekiranya timbul pertikaian dalam mana-mana
perkara yang dinyatakan dalam Seksyen 82 Enakmen Keluarga Islam (Negeri
Selangor) 2003 teruramanya melibatkan status agama si anak, ia mesti
diselesaikan oleh Mahkamah Sivil yang telah diberi kuasa dalam hal yang melibatkan
hak jagaan anak. Kesannya, keputusan Mahkamah Syariah tidak lagi akan
digunakan.
Meskipun
bidangkuasa yang diserahkan kepada Mahkamah Tinggi Syariah dalam hak jagaan
anak, telah dinyatakan dengan jelas dalam Seksyen 82 Enakmen Keluarga Islam
(Negeri Selangor) 2003, bidangkuasa ini telah dihadkan oleh peruntukkan Perkara
12(4) yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan.
Kedudukan ini kekal meskipun perubahan statutori telah dibuat untuk memperbaiki
atau meluaskan bidangkuasa Mahkamah Syariah dengan menyempitkan atau
mengurangkan bidangkuasa Mahkamah Sivil melalui penambahan klausa (1A) dalam
Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1988.
KESIMPULAN
Keputusan
yang bercanggah antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil dalam kes Izwan Bin
Abdullah telah mencetuskan pelbagai reaksi di kalangan masyarakat Islam.
Sesetengahnya melahirkan rasa kecewa dengan keputusan tersebut. Mereka
menganggap ia adalah peluang keemasan bagi Mahkamah Syariah untuk memperbetul
kepincangan sistem perundangan Malaysia tentang bidangkuasa mahkamah dalam hal
penguatkuasaan dan pentadbiran undang-undang hak jagaan kanak-kanak yang
melibatkan penjaga orang bukan Islam dan kanak-kanak yang beragama Islam.
Bidangkuasa untuk memutuskan
pertikaian tentang hak penjagaan anak yang melibatkan si anak telah memeluk
agama Islam itu sebenarnya telah sedia wujud dalam perlembagaan dan enakmen
negeri yang lain. Kecenderungan semasa yang ditunjukkan dengan menggunakan
prinsip pentafsiran yang tersirat ini apabila memutuskan bahawa Mahkamah
Syariah mempunyai bidangkuasa untuk membicarakan kes keluar daripada Islam.
Walaubagaimanapun, dalam penentuan
hak jagaan anak, kebajikan adalah isu yang diutamakan oleh Hakim dalam
penentuan penjagaan kanak-kanak. Keterlibatan masyarakat telah menghangatkan
isu penjaga yang bukan Islam akan menyebabkan anak beragama Islam akan
mengikuti agama si penjaga. Sebenarnya, amalan di Mahkamah adalah melihat
kepada siapa yang mempunyai hak untuk menuntut hak jagaan anak akan didengari
tuntutannya di Mahkamah kerana mereka mempunyai locus standi untuk berbuat
demikian. Baik Mahkamah Syariah mahupun Mahkamah Sivil masing-masing
memperuntukkan kebajikan kanak-kanak sebagai isu utama yang perlu diperlihatkan
dalam penentuah hak penjagaan. Ini termasuklah hak kanak-kanak tersebut untuk
terus berada di dalam agama Islam sekiranya keluar daripada agama Islam itu
akan menjejaskan kebajikannya.
Tidak salah sekiranya penjaga yang
bukan Islam menjaga anak yang telah memeluk agama Islam sekiranya kebajikan
anak tersebut lebih dipelihara dengan baik bersamanaya. Sebaliknya, inilah
jalan yang telah ditetapkan oleh Syarak dalam menentukan hak jagaan
kanak-kanak. Hal
ini kerana Mahkamah Syariah boleh untuk memberikan hak jagaan kepada mana-mana
orang lain sekiranya individu tersebut dapat memenuhi kebajikan kanak-kanak.
Malahan dalam amalan Islam ada membenarkan kanak-kanak Islam dijaga oleh orang
bukan Islam selagi ia tidak mendatangkan mudarat terhadap akidah kanak-kanak
tersebut. Ini
menunjukkan, kedua-dua Mahkamah boleh untuk mendengar tuntutan hak penjagaan
kanak-kanak yang mempunyai isu status agama dengan melihat kepada status
kebajikan kanak-kanak itu sebagai perkara utama yang perlu diselesaikan.
Di samping itu, perbalahan dan perebutan hak jagaan anak dalam perkahwinan
sivil boleh dikendalikan di Mahkamah Sivil, dengan syarat pasangan yang memeluk
Islam diberi peluang menyatakan kesnya mengikut undang-undang Islam dengan bantuan
pakar Islam. Begitu juga sebaliknya, apabila seorang mualaf membawa permohonan
hak jagaan anak dan isu pertukaran agama ke Mahkamah Syariah, mahkamah perlu
memberi peluang kepada pasangan bukan Islam didengar, terutama jika ia
membabitkan seorang ibu kerana Islam tetap mengiktiraf hak seorang ibu terhadap
anaknya. Isu pengislaman secara automatik mengikut agama ibu atau bapa yang
memeluk agama Islam tidak patut timbul.
Walau bagaimanapun, jalan
penyelesaian yang paling baik untuk mengelakkan kerumitan lain pada masa
hadapan adalah dengan membuat pindaan ke atas Perkara 12(4) Perlembagaan
Persekutuan dengan mengecualikan orang Islam daripada tertakluk di bawahnya. Sebagai
alternatif, satu undang-undang hak penjagaan kanak-kanak Islam dalam permohonan
ahli waris atau penjaga yang bukan beragama Islam perlulah disediakan di
peringkat negeri dengan memperuntukkan bidangkuasa yang jelas kepada Mahkamah
Syariah. Misalnya dengan membenarkan tuntutan dibuat oleh orang bukan Islam
terhadap penjagaan kanak-kanak yang telah memeluk agama Islam dengan meletakkan
syarat bahawa kanak-kanak tersebut mempunyai pertalian hubungan atau
kepentingan kebajikan dengan mereka Haruslah diingat bahawa meskipun
bidangkuasa Mahkamah Syariah yang jelas telah pun diperuntukkan, tidak akan
membawa apa-apa kesan sekiranya Mahkamah Syariah sendiri tidak memainkan
peranan yang proaktif untuk memperkasa bidangkuasanya.
RUJUKAN
Peruntukan
Undang-Undang
P.Persekutuan 12(4)
Seksyen 88 AMU 1964
Akta Penjagaan Kanak-Kanak
(Guardianship Act)-tafsiran umur dan penjagaan
Rujukan
Penghakiman Kes-Kes Terdahulu
1. Kok Yoong Heong lwn Choon Thean San [1976] 1 MLJ 292-
takrifan kebajikan
2. R.Samaswathy lwn R.Palakrishnan [1986] Mal. Digest 47- kesan
perubahan penjagaan dalam peringkat umur
3. Manikam lwn Interahnee [1985] 1 MLJ 56 – kemahuan anak
diambil kira
4. Kanalingam lwn Kanagarajah [1982] 1 MLJ 264-kemahuna anak
5. Chua Thye Peng & Anor lwn Kuah Huah Oong [1978] 2 MLJ
217-kehendak ibu bapa
6. In Re Mc Grath [1892] 1 Ch 143- kepercayaan,perlakuan dan
perbuatan yg menunjukkan kehendak ibu bapa
7. Winnie Young [1978] 2 MLJ 217- kehendak bapa terhadap agama
kanak2 hendaklah dibuktikan
8. Teoh Eng Huat, Re Chee Peng Quek [1963] 1 MLJ, Re Maria
Hertogh [1951] MLJ 1964-bapa tentukan agama
Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan
“Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan ugamanya dan,
tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkan ugamanya”. Hak kebebasan asasi lain
terkandung dalam Bahagian II Perlembagaan Persekutuan Perkara 5-13.
Prinsip-prinsip hak asasi manusia yang diluluskan oleh
PBB melalui Deklarasi Sejagat Mengenai Hak-Hak Asasi Manusia (UDHR) 1948
Artikel 18 –Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan berfikir, naluri hati
dan agama; hak ini termasuklah kebebasan menukar agama atau kepercayaannya, dan
kebebasan, sama ada secara bersendirian atau secara bersama dengan orang lain
dan secara terbuka atau bersendiri, menganuti agama atau kepercayaannya melalui
pengajaran, amalan, pemujaan dan pematuhan. Peruntukan ICCPR sedikit berbeza. Artikel
18; “Semua orang mempunyai hak kepada kebebasan berfikir, naluri hati dan
agama. Hak ini hendaklah termasuk kebebasan untuk mengadakan atau mengamalkan
agama atau kepercayaan pilihannya, dan kebebasan, sama ada secara individu atau
secara bersama dengan orang lain dan secara terbuka atau bersendiri, menganuti
agama atau kepercayaannya dalam ibadah, pemeliharaan, amalan dan pengajaran Teks
UDHR dari http://www.udhr.org/UDHR/ default.htm. Tarikh capaian pada 3 Ogos 2009.Teks ICCPR
dari http://ww2.ohcr.org/english/ law/ccpr.htm. Tarikh capaian pada 3 Ogos 2009.
Contohnya Perkara 25 Perlembagaan India memperuntukkan
kebebasan dalam menukar agama, manakala Perlembagaan Arab Saudi tidak
membenarkan penukaran agama bagi orang Islam. Tahir Mahmood, “Islamic Law and
State Legislation on Religious Conversion in India” dlm. Chibli Mallat (pnyt.),
1993. Islam and Public Law. London: Arab and Islamic Law Series, Graham
& Trotman. hlm. 165. Laura Dudley Jenkins, “Legal Limits on Religious
Conversion in India” dari http://www.law.duke.edu.journals/lcp. Tarikh pada 5 Mei
2011. ECLJ, “International Protection of the Right to Choose One’s Religion and
Change One’s Religious Affiliation”, ACLJ, September 2007 dari http://www.eclj.org/PDF/070911_ECLJ_Report.pdf. Tarikh pada 7 Jun 2010.
Ahmad Mohamed Ibrahim, 1997. Pentadbiran
Undang-Undang Islam di Malaysia. Kuala Lumpur: IKIM, hlm. vii. Kes Ramah
lwn Laton [1927] 6 FMSLR 128.
[1951] MLJ 164. Professor Aziz Bari melihat kes Re Susie
Teoh sebagai kes pertama mengenai kebebasan beragama. Abdul Aziz Bari, “Hak
Asasi Dalam Perlembagaan Malaysia: Ruang Lingkup dan Masalahnya” dlm. Jurnal
Syariah 10:1, hlm 62.
10
mei 2015
Tan Sri Profesor Ahmad Ibrahim, “Kedudukan Islam dalam
Perlembagaan Malaysia” dlm. http://www.islam.gov.my/buu/artikel2.html. Capaian
pada 10 Mei 2015. Walau bagaimanapun,
mahkamah rayuan Singapura telah mengakui bahawa anak perempuan dalam kes
tersebut telah memeluk agama Islam sungguhpun umurnya baru 13 tahun.
Tan Sri Profesor Ahmad Ibrahim, “Kedudukan Islam dalam
Perlembagaan Malaysia” dlm.
http://tayibah.com/eIslam/kedudukan_islam_dlm_perlembagaan.phpCapaian
pada 10 Mei 2015.