Isnin, 8 Jun 2015

Akta Kanak-Kanak 2001: Kesannya Terhadap Undang-undang Keluarga

Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) (selepas ini dirujuk sebagai Akta 611) hanya mula berkuatkuasa pada 1 Ogos 2002, walaupun ia telah diluluskan pada tahun 2001. Akta 611 telah memansuhkan tiga statut[1] yang lain, iaitu Akta Mahkamah Juvana 1947, Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1991 dan Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 1973, dan telah menggabungkan undang-undang berkenaan pemeliharaan, perlindungan dan pemulihan kanak-kanak.
Artikel ini mengkaji beberapa aspek undang-undang keluarga dan membuat satu perbandingan di antara Akta 611 dan undang-undang yang sedia ada berkenaan dengan aspek tersebut, dan melihat sama ada Akta 611 telah mengukuhkan lagi undang-undang berkenaan perlindungan kanak-kanak dan dalam melindungi kepentingan-kepentingan mereka.

Takrif “Kanak-kanak”
Akta 611 telah mendefinisikan kanak-kanak dalam seksyen 2 sebagai:
a) seseorang yang di bawah umur 18 tahun; dan
b) berhubung dengan prosiding jenayah, seseorang yang sudah mencapai umur bagi tanggungjawab jenayah sebagaimana yang ditetapkan dalam seksyen 82 Kanun Keseksaan.
Oleh itu Akta 611 terpakai kepada semua kanak-kanak yang berumur di bawah 18 tahun, selain daripada dalam sesuatu prosiding jenayah. Ini adalah selaras dengan Akta Umur Dewasa 1971[2] yang menetapkan
umur dewasa sebagai 18 tahun. Definisi kanak-kanak berbeza dari satu Akta ke Akta yang lain. Misalnya:
a) Seksyen 87 Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976[3] (selepas ini dirujuk sebagai AMU) memberi takrifan kanak-kanak sebagai seseorang yang berumur di bawah 18 tahun.
b) Takrif kanak-kanak di bawah Akta Pengangkatan 19524 ialah seorang yang belum berkahwin dan di bawah umur 21 tahun.
c) Akta Penjagaan Kanak-Kanak 1961[5] pula membahagikan tafsiran kanak-kanak kepada dua, iaitu bagi kanak-kanak Islam, umur dewasa adalah 18 tahun, manakala bagi kanak-kanak bukan Islam, umur dewasanya adalah 21 tahun.
Walaupun berlainan di antara satu sama lain, statut-statut di atas telah dengan jelas memberikan takrif kanak-kanak. Akan tetapi, terdapat beberapa statut yang tidak memberikan takrifan kanak-kanak. Oleh sebab itu, mahkamah terpaksa memberikan definisinya sendiri apabila mendengar sesuatu kes yang berkenaan statut tersebut. Misalnya, dalam kes Kulasingam v Rasammah,[6] mahkamah dikehendaki menentukan maksud “kanak-kanak” kerana Akta yang relevan kepada kes ini, iaitu Akta Perempuan Bersuami dan Kanak-kanak (Nafkah) 1950[7] (selepas ini dirujuk sebagai “Akta 1950”) senyap. Mahkamah telah memutuskan bahawa oleh kerana Akta 1950 senyap mengenai takrif “kanak-kanak”, maka Akta Umur Dewasa 1971 terpakai.

Pemeliharaan Kanak-Kanak
Walaupun Akta 611 tidak memperuntukkan bagi hak-hak penjagaan atau pemeliharaan secara nyata, ia boleh disirat dari beberapa seksyen dalam Bahagian V. Seksyen 18 memperuntukkan bagi pengambilan kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan ke dalam jagaan sementara oleh mana-mana Pelindung[8] atau pegawai polis.
Seksyen 19 memperuntukkan bahawa setiap kanak-kanak yang diambil ke dalam jagaan sementara hendaklah dibawa ke hadapan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak dalam masa 24 jam. Subseksyen (2) memperuntukkan bahawa jika tidak mungkin seorang kanak-kanak dibawa ke hadapan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak dalam masa yang dinyatakan, maka kanak-kanak itu hendaklah dibawa ke hadapan seorang Majistret yang boleh mengarahkan supaya kanak-kanak itu diletakkan di satu tempat selamat atau dalam pemeliharaan seseorang yang layak dan sesuai sehingga masa kanak-kanak itu dapat dibawa ke hadapan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak. Jika seseorang kanak-kanak itu diletakkan di satu tempat selamat atau dalam pemeliharaan seorang yang layak dan sesuai, pihak tersebut hendaklah mempunyai kawalan ke atas, dan bertanggungjawab bagi penyenggaraan kanak-kanak itu sama seperti ibu atau bapa kanak-kanak itu (seksyen 19(3)(a) ). Selanjutnya, subseksyen (3) memperuntukkan bahawa kanak-kanak itu hendaklah terus berada dalam pemeliharaan orang yang disebut dalam perenggan (a) walaupun kanak-kanak itu dituntut oleh ibu atau bapa atau penjaganya atau mana-mana orang lain. Soalan yang timbul selepas mengkaji seksyen 19(3) ialah sama ada seksyen 19(3)(a) dan (b) menyebabkan kehilangan hak-hak penjagaan dan pemeliharaan seorang ibubapa atau penjaga ke atas seorang kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan penjagaan?
Menurut seksyen 30 (1) apabila seorang kanak-kanak dibawa ke hadapan Mahkamah bagi Kanak-Kanak di bawah seksyen 19 atau 25, mahkamah boleh:
a) memerintahkan supaya ibu atau bapa atau penjaganya menyempurnakan bon untuk menjalankan pemeliharaan dan penjagaan yang sepatutnya selama satu tempoh yang dinyatakan oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak itu;
b) membuat satu perintah meletakkan kanak-kanak itu dalam jagaan seorang yang layak dan sesuai selama satu tempoh yang dinyatakan oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak itu;
c) tanpa membuat apa-apa perintah lain atau sebagai tambahan kepada perintah yang dibuat di bawah perenggan (a) atau (b), membuat satu perintah meletakkan kanak-kanak itu di bawah pengawasan seorang Pelindung atau seorang lain yang dilantik bagi maksud itu oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak selama satu tempoh yang dinyatakan oleh Mahkamah tersebut;
d) membuat satu perintah meletakkan kanak-kanak itu di satu tempat selamat selama tempoh tiga tahun dari tarikh perintah itu atau sehingga dia mencapai umur 18 tahun, mengikut mana-mana yang lebih pendek; atau
e) dalam hal seorang kanak-kanak yang tidak mempunyai ibu atau bapa atau penjaga atau yang telah terbuang, membuat satu perintah meletakkan kanak-kanak itu dalam pemeliharaan, jagaan dan kawalan seorang ibu atau bapa peliharaan yang didapati sesuai oleh Ketua Pengarah selama tempoh 2 tahun atau sehingga kanak-kanak itu mencapai umur 18 tahun, mengikut mana-mana yang lebih pendek, dan sementara menantikan itu, meletakkan kanak-kanak itu di suatu tempat selamat.
Jika satu perintah dibuat di bawah perenggan (e), Ketua Pengarah hendaklah dengan serta-merta berusaha untuk meletakkan kanak-kanak itu dalam pemeliharaan, jagaan dan kawalan seseorang ibu atau bapa peliharaan (seksyen 30(2) ).
Perenggan-perenggan seksyen 30(1) yang akan dibincangkan di sini adalah (b), (d) dan (e).

Perenggan (b)
Perenggan (b), seperti yang dinyatakan di atas, memberi kuasa kepada mahkamah untuk meletakkan kanak-kanak itu di dalam jagaan seorang
yang layak dan sesuai selama satu tempoh yang dinyatakan oleh Mahkamah. Oleh itu, ia adalah terpulang kepada mahkamah untuk menetapkan tempoh selama mana kanak-kanak itu akan berada dalam jagaan “seorang yang layak dan sesuai”. Soalan yang timbul adalah adakah ibu atau bapa atau penjaga hilang hak jagaan dan pemeliharaan mereka apabila perintah tersebut dibuat?
Perenggan (d)
Perenggan (d) memperuntukkan bahawa kanak-kanak itu akan diletakkan di satu tempat selamat selama tiga tahun dari tarikh perintah itu atau sehingga dia mencapai umur 18 tahun, mengikut mana-mana yang lebih pendek. Isu yang berbangkit sekali lagi adalah sama ada ibu atau bapa atau penjaga hilang hak penjagaan dan pemeliharaan semasa tempoh tiga tahun ini?
Rujukan boleh dibuat kepada seksyen 10 Akta Penjagaan Kanak-Kanak,[9] yang memberi kuasa kepada mahkamah atau hakim untuk batalkan hak jagaan yang diberi kepada seorang penjaga, sama ada beliau ialah ibu atau bapa atau mana-mana orang lain, dan boleh melantik dari masa ke semasa, seorang lain untuk menjadi penjaga kanak-kanak tersebut. Oleh itu seksyen ini dengan jelas memperuntukkan bahawa mahkamah boleh membatalkan hak jagaan seorang penjaga dan melantik seorang lain. Walau bagaimanapun, Akta ini tidak secara nyata memberikan alasan-alasan bagi pembatalan hak jagaan. Jika seksyen 10 Akta ini dibandingkan dengan seksyen 30(1)(b) Akta 611, Akta 611 hanya memberi kuasa kepada mahkamah untuk meletakkan kanak-kanak itu di dalam pemeliharaan seseorang lain, tanpa menyatakan sama ada ibu atau bapa atau penjaga akan hilang hak penjagaan dan pemeliharaan mereka. Bagi menjawab soalan di atas, kita mestilah menunggu sehingga sesuatu kes dibawa ke hadapan mahkamah di mana mahkamah dikehendaki memberi tafsiran kepada seksyen 30(1) berkenaan hak jagaan dan pemeliharaan.[10]

Perenggan (e)
Seksyen 30(1)(e) memperuntukkan bahawa mahkamah boleh meletakkan seorang kanak-kanak yang dibuang oleh ibu atau bapa atau penjaganya, dalam pemeliharaan, jagaan dan kawalan seorang ibu atau bapa peliharaan bagi dua tahun atau sehingga kanak-kanak itu mencapai umur lapan belas tahun, mengikut mana-mana yang lebih pendek. Dalam keadaan tersebut, Akta 611 secara nyata memperuntukkan dalam seksyen 30(4) bahawa ibu atau bapa atau penjaga kanak-kanak itu masih boleh menuntut kanak-kanak tersebut. Dengan itu, bolehlah disimpulkan bahawa ibu atau bapa atau penjaga tidak hilang hak jagaan atau pemeliharaan mereka. Jika tiada apa-apa tuntutan dibuat, mahkamah boleh membuat satu perintah menyerahkan kanak-kanak itu diangkat oleh ibu atau bapa peliharaan itu atau mana-mana orang yang berhasrat untuk mengangkat kanak-kanak itu (selepas memenuhi syarat-syarat di bawah seksyen 30(4)(a) dan (b) dan mengenepikan persetujuan dari ibu atau bapa atau penjaga bagi pengangkatan tersebut.
Salah satu seksyen dalam Akta Penjagaan Kanak-Kanak yang sama dengan seksyen 30(1)(e) Akta 611 ialah seksyen 8A(1) yang memperuntukkan bahawa jika seorang kanak-kanak telah dibuang oleh ibu atau bapa atau penjaganya atau tidak mempunyai ibu atau bapa atau penjaga, dan tiada mana-mana orang lain yang sesuai yang sanggup dan boleh memelihara kanak-kanak itu, mahkamah:
a) boleh melantik seorang Pelindung untuk menjadi penjaga sementara bagi tubuh badan dan harta kanak-kanak itu sehingga seorang penjaga boleh dilantik;
b) akan menentukan kuasa-kuasa dan tugas-tugas Pelindung sebagai seorang penjaga sementara berkenaan tubuh badan dan harta kanak-kanak itu; dan
c) boleh meletakkan apa-apa terma dan syarat, dengan mempertimbangkan kebajikan kanak-kanak, sepertimana yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah.
Subseksyen (2) memperuntukkan bahawa subseksyen (1) akan terpakai sama ada kanak-kanak itu diletakkan di satu tempat yang selamat atau di bawah perlindungan, jagaan dan pemeliharaan seorang
ibu bapa peliharaan, berkenaan dengan mana-mana undang-undang mengenai perlindungan dan pemeliharaan kanak-kanak.
Oleh sebab rangkaikata “berkenaan dengan mana-mana undang-undang mengenai perlindungan dan pemeliharaan kanak-kanak” yang diperuntukkan di atas akan meliputi Akta 611 kini, maka seksyen 8A Akta Penjagaan Kanak-Kanak akan terpakai sebagai tambahan kepada seksyen 30 (1)(e) Akta 611.
Seksyen 30(5) Akta 611 memperuntukkan bahawa dalam menentukan perintah yang perlu dibuat, mahkamah hendaklah memberi pertimbangan utama kepada kepentingan kanak-kanak itu. Isu yang timbul seterusnya ialah apakah kriteria yang menentukan “kepentingan kanak-kanak itu”? Jawapan kepada soalan ini mungkin boleh dilihat dalam seksyen 30(6)(a) yang menyenaraikan perkara-perkara yang akan dikaji oleh mahkamah dalam menentukan kepentingan kanak-kanak, iaitu latar belakang keluarga, kelakuan secara am, suasana di rumah, rekod sekolah dan riwayat perubatan seorang kanak-kanak. Akta Penjagaan Kanak-Kanak mempunyai satu peruntukan yang seakan-akan sama, iaitu seksyen 11. Seksyen 11 menyatakan bahawa mahkamah memberi pertimbangan utama kepada kebajikan kanak-kanak. Seksyen ini dibincangkan secara detail dalam kes Re Satpal Singh, An Infant,[11] di mana bapa kanak-kanak memohon bagi pemeliharaan. Hakim Buttrose J. menyatakan bahawa mahkamah mestilah mempertimbangkan kebajikan kanak-kanak itu secara keseluruhan. Ia tidak terhad kepada soalan sama ada kanak-kanak itu lebih bahagia di satu tempat berbanding dengan tempat yang lain. “Kebajikan” bermaksud kebajikan fizikal serta kebajikan moral.
Seksyen 30(5) dan (6) Akta 611 juga boleh dibandingkan dengan seksyen 88(2) AMU[12] yang memperuntukkan bahawa dalam menentukan isu pemeliharaan seorang kanak-kanak, mahkamah akan mempertimbangkan kebajikan kanak-kanak sebagai pertimbangan utama. Isu ini dibincangkan dalam kes Loura Dorris a/p Laurence v Thuraisingam a/l James.[13] Mahkamah Tinggi menyatakan bahawa walaupun “kepentingan kanak-kanak” bergantung kepada banyak faktor, beberapa faktor tersebut termasuk:
a) umur, gender, kesihatan fizikal dan mental kanak-kanak itu;
b) kesihatan fizikal dan mental ibubapa;
c) gaya kehidupan dan faktor-faktor sosial lain ibubapa;
d) kasih sayang dan ikatan emosi di antara ibubapa dan anak, dengan kebolehan ibubapa memberi kanak-kanak itu bimbingan;
e) kemampuan ibubapa untuk membekalkan kanak-kanak itu dengan makanan, perlindungan, pakaian dan rawatan perubatan;
f) cara kehidupan kanak-kanak;
g) kualiti sekolah, yang menjadi faktor penting jika salah seorang ibubapa ingin berpindah; dan
h) kemampuan dan kesanggupan ibu atau bapa untuk memupuk komunikasi dan perhubungan yang baik di antara kanak-kanak itu dan bapa atau ibu yang satu lagi.

Pengangkatan
Isu seterusnya yang akan dibincang ialah peruntukan-peruntukan mengenai “pengangkatan seorang kanak-kanak” di bawah Akta 611. Jika satu perbandingan dibuat di antara Akta 611 dan Akta Pengangkatan:
a) seperti yang dinyatakan di atas, Akta 611 membenarkan Mahkamah bagi Kanak-Kanak untuk membuat satu perintah menyerahkan kanak-kanak itu untuk diangkat oleh ibu atau bapa peliharaan atau mana-mana orang yang berhasrat untuk mengangkat kanak-kanak itu, jika ibu atau bapa atau penjaga tidak menuntut kanak-kanak tersebut. Seksyen 30(1)(e) dan (4) memperuntukkan bahawa dalam membuat perintah tersebut, jika mahkamah puas hati bahawa Pelindung telah mengambil langkah-langkah yang munasabah untuk mengesan ibu atau bapa atau penjaga kanak-kanak itu, ia boleh mengenepikan persetujuan (yang secara amnya diperlukan) dari ibu atau bapa atau penjaga bagi pengangkatan. Ini adalah sekan-akan sama dengan peruntukan berkenaan persetujuan bagi pengangkatan dalam seksyen 5(1)(a) dan (c) Akta Pengangkatan yang memperuntukkan:-
“... mahkamah boleh mengetepikan keperluan persetujuan yang dikehendaki di bawah seksyen ini dalam salah satu keadaan berikut:
(a) dalam kes seorang ibubapa atau penjaga kanak-kanak, bahawa dia telah meninggalkan kanak-kanak itu, membiarkannya atau berterusan melayaninya dengan buruk;
(b) ...
(c) ... bahawa orang yang persetujuannya diperlukan tidak boleh
dikesan atau tidak mampu memberi persetujuannya.”
Isu pengenepian persetujuan ibubapa atau penjaga telah dibangkitkan dalam kes TPC v ABU.[14] Mahkamah telah memutuskan bahawa beban untuk membuktikan bahawa persetujuan harus diketepikan terletak pada pengangkat yang dicadangkan. Apabila dihujah bahawa ibu kandung tidak dapat dikesan, mahkamah mesti memastikan bahawa segala langkah-langkah munasabah untuk mengesannya telah diambil[15].
b) Seksyen 30(6) Akta 611 memperuntukkan bahawa sebelum mahkamah membuat satu perintah menyerahkan kanak-kanak itu untuk pengangkatan, ia patut menimbangkan dan mengambil kira apa-apa laporan yang disediakan oleh Pelindung yang hendaklah mengandungi apa-apa maklumat tentang latarbelakang keluarga, kelakuan secara am, suasana di rumah, rekod sekolah dan riwayat perubatan seseorang kanak-kanak dan boleh memasukkan apa-apa laporan bertulis seorang Pegawai Kebajikan Masyarakat, pengamal perubatan berdaftar atau mana-mana orang lain yang difikirkan layak oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak. Dengan itu bolehlah dilihat dengan jelas bahawa seorang Pelindung bertanggungjawab untuk menyiasat butir-butir mengenai latarbelakang kanak-kanak itu, menyediakan satu laporan dan menyerahkannya kepada mahkamah. Tugas Pelindung di sini adalah serupa dengan tugas seorang guardian ad litem[16] di bawah seksyen 13(1) Akta Pengangkatan. Seorang guardian ad litem bertanggungjawab untuk menyiasat selengkap yang mungkin semua keadaan kanak-kanak dan pemohon dan semua perkara lain yang relevan kepada pengangkatan yang dicadangkan, supaya menjaga kepentingan kanak-kanak tersebut.
c) Seksyen 48(1) Akta 611 memperuntukkan bahawa mana-mana orang yang mengambil bahagian dalam apa-apa transaksi yang tujuannya atau salah satu daripada tujuannya adalah untuk memindahkan atau memberikan, keseluruhannya atau sebahagiannya, buat sementara atau tetap, milikan, jagaan atau kawalan seorang kanak-kanak bagi apa-apa balasan berharga melakukan satu kesalahan. Walaubagaimanapun subseksyen (4) memperuntukkan bahawa hendaklah menjadi satu pembelaan jika dibuktikan bahawa pemindahan berlaku dengan tujuan atau menurut satu pengangkatan bona fide dan sekurang-kurangnya seorang daripada ibu atau bapa sebenar kanak-kanak itu atau penjaga kanak-kanak itu ialah pihak yang mengizinkan pengangkatan itu oleh pihak pengangkat itu. Isu yang timbul di sini ialah, jika pemindahan kanak-kanak itu berlaku dengan tujuan atau menurut satu pengangkatan bona fide, maka adakah pemberian apa-apa balasan berharga bagi pengangkatan tersebut juga dibenarkan?
Seksyen 48(4) senyap mengenai isu”balasan berharga” dalam kes pengangkatan bona fide. Hujah yang mungkin boleh dibangkitkan di sini ialah bahawa jika pemindahan ialah bagi satu pengangkatan bona fide, maka pihak yang memindah kanak-kanak itu tidak patut dibenarkan menerima apa-apa balasan berharga. Rujukan dibuat kepada seksyen 6 Akta Pengangkatan untuk menyokong hujah ini. Seksyen 6 memperuntukkan bahawa sebelum mahkamah membuat satu perintah pengangkatan, ia patut berpuas hati tentang beberapa faktor. Salah satu faktor adalah bahawa ibubapa serta pemohon dan penjaga mestilah telah tidak menerima atau bersetuju untuk menerima apa-apa bayaran atau hadiah sebagai balasan pengangkatan. Tiada siapa pun boleh memberi atau membuat atau bersetuju untuk membuat atau memberi kepada pemohon atau ibubapa atau penjaga mana-mana bayaran atau hadiah sebagai balasan pengangkatan. Kesemua ini dibolehkan hanya sekiranya mahkamah memberi keizinan.
Isu di atas telah dibangkitkan dalam kes Re Sim Thong Lai[17]. Isu dalam kes ini ialah sama ada pemberian wang sebanyak $200, beberapa ela kain dan dua botol wain merupakan hadiah dalam pengertian
seksyen 6 Akta Pengangkatan. Keterangan pakar telah diperoleh untuk menunjukkan bahawa pemberian seperti ini biasa diadakan dan merupakan “ginger and cake money” dalam adat Cina untuk membayar ibu kerana melahirkan anak untuk membantunya membayar bil-bil bersalin dan makanan yang perlu selepas bersalin. Hakim Taylor mendapati pemberian tersebut tidak dimaksudkan oleh seksyen 6. Walaupun begitu, beliau menyarankan agar mahkamah patut berjaga-jaga sekiranya jumlah wang adalahu besar.

Nafkah
Akta 611 memperuntukkan penalti bagi ibubapa atau penjaga atau mana-mana orang yang mempunyai peliharaan kanak-kanak jika dia gagal menyara kanak-kanak itu dengan baik. Maka, ini menekankan kepentingan menyara seorang kanak-kanak.
Peruntukan-peruntukan yang relevan boleh didapati dalam Bahagian V, Bab 3 Akta 611. Seksyen 31(1) (a) memperuntukkan, inter alia, bahawa mana-mana orang yang mempunyai pemeliharaan seseorang kanak-kanak yang mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau emosi atau yang menyebabkannya atau membenarkannya diabaikan melakukan satu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM 20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.
Rangkaikata “mengabaikan seorang kanak-kanak” dijelaskan dalam seksyen 31(4), yang memperuntukkan bahawa seseorang ibu atau bapa atau penjaga atau orang lain yang bertanggungan di sisi undang-undang untuk menyara seorang kanak-kanak hendaklah disifatkan telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau emosi jika, sungguhpun dia berupaya mengadakan makanan, pakaian, rawatan perubatan atau pergigian, penginapan atau pemeliharaan yang mencukupi bagi kanak-kanak itu, dia tidak berbuat demikian. Ini dengan terangnya menjelaskan situasi-situasi di mana seorang ibu atau bapa atau penjaga atau orang lain yang mempunyai pemeliharaan seseorang kanak-kanak telah mengabaikan tanggungannya untuk menyara kanak-kanak itu.
Peruntukan di atas boleh dibandingkan dengan undang-undang lain berkenaan nafkah. Misalnya, rujukan boleh dibuat kepada seksyen 3(1) Akta 1950. Seksyen ini memperuntukkan bahawa jika mana-mana orang telah membiarkan atau enggan memberi nafkah kepada anak sah tarafnya yang tidak boleh menanggung kehidupannya sendiri, mahkamah boleh memerintahkan dia untuk membayar elaun bulanan bagi nafkah anaknya dalam kadar yang bersesuaian dengan kemampuannya, atau yang mahkamah anggap munasabah. Subseksyen (2) melanjutkan tugas ini kepada seorang anak tak sah taraf juga. Apabila seksyen 3(1) Akta 1950 dibandingkan dengan seksyen 31 Akta 611, bolehlah dilihat bahawa seksyen 31 menerangkan dengan jelas maksud “mengabaikan seorang kanak-kanak”, manakala seksyen 3(1) tidak berbuat sedemikian. Satu lagi perbezaan yang boleh dilihat ialah bahawa Akta 1950 tidak memberi definisi “kanak-kanak” (Kulasingam v Rasammah) manakala Akta 611 memberi definisi.
Kedua, perbandingan juga boleh dibuat di antara seksyen 31 Akta 611 dan seksyen 92 AMU. Menurut seksyen 92, ia merupakan kewajipan seseorang ibubapa untuk menanggung atau memberi sumbangan terhadap nafkah anak-anaknya, sama ada anak-anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada dengan mengadakan bagi mereka sesuatu tempat tinggal, pakaian, makanan dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandangkan kemampuannya dan kedudukannya dalam kehidupan atau dengan membayar kos untuk perkara-perkara tersebut tadi. Peruntukan ini boleh dikatakan sama seperti seksyen 31(4) Akta 611 kerana ia juga memperuntukkan situasi-situasi di mana tugas tersebut timbul.
Faktor seterusnya yang akan dibincang adalah peruntukan-peruntukan tentang penalti bagi kegagalan untuk mematuhi tanggungan untuk membayar nafkah. Seperti yang dinyatakan di atas, seksyen 31(1) Akta 611 memperuntukkan penalti sebagai sama ada satu denda tidak melebihi RM 20,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada 10 tahun atau kedua-duanya. Seksyen 31(2) memperuntukkan bahawa Mahkamah hendaklah sebagai tambahan kepada apa-apa hukuman yang dinyatakan dalam subseksyen (1) memerintahkan supaya orang yang disabitkan atas satu kesalahan menyempurnakan satu bon dengan penjamin untuk berkelakuan baik selama apa-apa tempoh yang difikirkan patut oleh mahkamah. Jika seorang yang diperintahkan supaya menyempurnakan satu bon seperti di atas tidak mematuhi mana-mana
syarat bon itu, dia boleh didenda selanjutnya tidak melebihi RM 10,000 atau dipenjarakan selanjutnya selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya. Seksyen 31(5) seterusnya memperuntukkan bahawa seseorang boleh disabitkan atas satu kesalahan terhadap seksyen ini walaupun penderitaan atau kecederaan kepada kesihatan kanak-kanak yang berkenaan atau kemungkinan penderitaan atau kecederaan kepada kesihatan kanak-kanak yang berkenaan telah dielakkan melalui tindakan orang lain atau kanak-kanak yang berkenaan telah mati. Ini menunjukkan betapa seriusnya kesalahan ini kerana walaupun penderitaan atau kecederaan tersebut telahpun dielakkan oleh orang lain, mahkamah masih boleh menyabitkan pihak yang mempunyai pemeliharaan kanak-kanak itu.
Menurut Akta 1950, seksyen 4 memperuntukkan bahawa jika seseorang dengan sengaja cuai mematuhi perintah yang dikeluarkan di bawah Akta 1950 ini, mahkamah yang telah membuat perintah itu boleh untuk tiap-tiap pelanggaran mengarahkan, melalui waran, supaya jumlah yang perlu dibayar dikehendaki dibayar seperti satu denda. Mahkamah juga boleh menghukumnya penjara untuk tempoh sehingga sebulan untuk tiap-tiap bulan nafkah belum dibayar.
Seksyen 4 dibangkitkan dalam kes Yap Ki Swee v Phua Thiam Lai[18] di mana responden (si suami) telah tidak membayar nafkah selama tiga bulan. Si isteri memohon kepada mahkamah supaya menghukum penjara ke atas suaminya di bawah seksyen 4. Mengikut Hakim Syed Othman:-

“The court before issuing a distress or commitment warrant must be satisfied that the person complained against has wilfully neglected to comply with a maintenance order. There must be a hearing or inquiry in the presence of the husband. It should be observed that the section empowers the court to pass the sentence of imprisonment which may extend to a month. I cannot see how proper sentence could be assessed merely on the complaint of non-compliance of the maintenance order, without the husband being present in the court. It must be in the contemplation of the legislature that the husband must be present before the sentence can be passed.”[19]

Oleh itu, mahkamah tidak membenarkan permohonannya kerana berpendapat bahawa suami patut diberi peluang membayar jumlah yang tertinggal.
Walaubagaimanapun, AMU tidak mempunyai peruntukan bagi penalti seperti di atas. Bolehlah dihujahkan di sini bahawa walaupun AMU adalah senyap tentang perkara ini, ia akan terjumlah kepada satu penghinaan mahkamah jika satu perintah nafkah yang dikeluarkan oleh mahkamah tidak dipatuhi.

Mahkamah Bagi Kanak-Kanak
Akta 611 telah mewujudkan satu Mahkamah Bagi Kanak-Kanak yang akan mendengar perkara-perkara yang timbul dari peruntukan-peruntukan Akta ini. Definisi “Mahkamah Bagi Kanak-Kanak” di dalam seksyen 2 tidak lengkap kerana ia hanya memperuntukkan:-
“Mahkamah Bagi Kanak-Kanak” ertinya Mahkamah Bagi Kanak-Kanak yang ditubuhkan di bawah seksyen 11.”
Oleh itu rujukan patut dibuat kepada seksyen 11 yang memperuntukkan seperti berikut:-
“Mahkamah yang ditubuhkan mengikut Akta ini dan bersidang bagi maksud –
(a) mendengar, memutuskan atau membereskan apa-apa pertuduhan terhadap seorang kanak-kanak; atau
(b) menjalankan apa-apa bidangkuasa lain yang diberikan atau yang akan diberikan kepada Mahkamah Bagi Kanak-Kanak oleh atau di bawah Akta ini atau oleh mana-mana undang-undang bertulis yang lain, hendaklah dikenali sebagai “Mahkamah Bagi Kanak-Kanak”.
Isu yang timbul adalah berkenaan perenggan (b) yang menyatakan, inter alia, bahawa mahkamah ini boleh menjalankan apa-apa bidang kuasa lain yang diberikan oleh atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang lain. Soalnya ialah sama ada Parlimen akan meminda undang-undang bertulis berkenaan kanak-kanak, bagi memberikan bidang kuasa kepada Mahkamah ini untuk mendengar perkara-perkara yang timbul dari perundangan tersebut. Hujah yang boleh diutarakan di sini adalah bahawa mahkamah ini patut diberi bidang kuasa untuk mendengar semua perkara-perkara undang-undang keluarga
berkenaan kanak-kanak, sama ada ia jatuh di bawah Akta 611 atau mana-mana undang-undang bertulis lain, kerana suasana di dalam Mahkamah ini adalah lebih sesuai bagi seorang kanak-kanak. Ini boleh dilihat dalam seksyen 12 yang memperuntukkan:-
“(1) Mahkamah Bagi Kanak-Kanak hendaklah, jika dapat dilaksanakan, bersidang-
(a) sama ada di dalam satu bangunan atau bilik yang berlainan daripada bangunan atau bilik di mana persidangan Mahkamah-Mahkamah selain Mahkamah Bagi Kanak-Kanak diadakan; atau
(b) pada hari-hari yang berlainan daripada hari-hari persidangan Mahkamah-Mahkamah yang lain itu diadakan.
(2) Jika sesuatu Mahkamah Bagi Kanak-Kanak bersidang di dalam bangunan yang sama dengan Mahkamah-Mahkamah yang lain, Mahkamah Bagi Kanak-Kanak itu hendaklah mempunyai pintu masuk dan pintu keluar yang berlainan daripada pintu masuk dan pintu keluar Mahkamah-Mahkamah yang lain itu untuk membolehkan kanak-kanak dibawa ke dan dari Mahkamah Bagi Kanak-Kanak itu tanpa gangguan.
(3) Tiada seorang pun boleh hadir dalam mana-mana persidangan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak kecuali-
(a) anggota dan pegawai Mahkamah itu;
(b) kanak-kanak yang menjadi pihak dalam kes di hadapan Mahkamah itu, ibu dan bapa, penjaga, peguam bela dan saksi mereka; dan orang lain yang ada kena-mengena secara langsung dengan kes itu; dan
(c) mana-mana orang lain yang bertanggungjawab sebagaimana yang ditentukan oleh Mahkamah itu.”
Apabila membaca peruntukan di atas, adalah jelas bahawa penggubal telah berhati-hati semasa menggubalnya. Mereka telah mengambil kira (dalam subseksyen(1)) fakta bahawa jika perkara-perkara berkenaan kanak-kanak didengar di bilik mahkamah yang sama dengan orang-orang dewasa, ini pasti akan menjejaskan emosi dan psikologi kanak-kanak itu. Subseksyen (2) seterusnya menyatakan bahawa jika sesuatu Mahkamah Bagi Kanak-Kanak bersidang di dalam bangunan yang sama dengan Mahkamah-Mahkamah yang lain, Mahkamah Bagi Kanak-Kanak itu hendaklah mempunyai pintu masuk dan pintu keluar yang berlainan untuk membolehkan kanak-kanak dibawa ke dan dari Mahkamah bagi Kanak-Kanak itu tanpa gangguan. Oleh itu subseksyen ini memastikan bahawa kanak-kanak itu diberi perlindungan apabila dibawa ke dan dari Mahkamah Bagi Kanak-Kanak itu.
Selanjutnya, seksyen 11(2) Akta 611 memperuntukkan bahawa Mahkamah Bagi Kanak-Kanak hendaklah terdiri daripada seorang Majistret yang hendaklah dibantu oleh dua orang penasihat yang dilantik oleh Menteri dari suatu panel orang yang bermastautin di Negeri itu. Subseksyen (3) menyatakan bahawa seorang daripada dua orang penasihat yang disebut dalam subseksyen (2) hendaklah seorang wanita. Ini adalah mungkin kerana seorang wanita berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk memahami emosi dan perasaan seorang kanak-kanak. Oleh sebab itu, dengan mengambil kira faktor-faktor di atas, adalah ditekankan sekali lagi bahawa Mahkamah Bagi Kanak-Kanak patut diberi bidang kuasa untuk mendengar segala kes-kes undang-undang keluarga berkenaan kanak-kanak, kerana hakim-hakim tersebut akan merupakan pihak-pihak yang fasih dalam undang-undang berkenaan kanak-kanak.

Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, peruntukan-peruntukan Akta Kanak-Kanak telah, dalam prinsip, mengukuhkan lagi undang-undang berkenaan perlindungan kanak-kanak dan dalam melindungi kepentingan-kepentingan mereka. Akta 611 juga boleh dikatakan telah memenuhi “lacuna” yang wujud di dalam perundangan lain berkenaan undang-undang keluarga. Walaubagaimanapun, segala-galanya terletak kepada badan kehakiman untuk mentafsir dan memberi kesan kepada peruntukan-peruntukan Akta 611.


[*]Pensyarah
Fakulti Undang-Undang
Universiti Malaya

Seksyen 130.
[2]Akta 21.
[3]Akta 164.
[4]Akta 257, disemak 1981.
[5]Akta 351, disemak 1988.
[6][1981] 2 MLJ 36.
[7]Akta 263.
[8]“Pelindung” didefinisikan dalam Seksyen 2 sebagai:
(a) Ketua Pengarah;
(b) Timbalan Ketua Pengarah;
(c) seorang Pengarah Bahagian bagi Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat;
(d) Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri bagi setiap Negeri;
(e) mana-mana Pegawai Kebajikan Masyarakat yang dilantik di bawah seksyen 8.
[9]Supra n.5.
[10]Rujuk juga seksyen 30(8) di mana seorang ibu atau bapa atau penjaga masih dibenarkan untuk melawat kanak-kanak tersebut.
[11][1958] MLJ 283.
[12]Supra n. 3.
[13][1995] 2 MLJ 229.
[14][1983] 2 MLJ 79.
[15]Ibid, pada m.s 84.
[16] Seorang “guardian ad litem“ dilantik oleh Mahkamah di bawah seksyen 12(1) Akta Pengangkatan apabila satu permohonan bagi pengangkatan dibuat di Mahkamah.
[18][1975] 1 MLJ 139.
[19] Ibid di m.s. 40.









Akta Kanak-Kanak 2001:
Penguatkuasaan Semula Tugas dan Tanggungjawab Ibu Bapa atau Penjaga?

Jal Zabdi bin Mohd Yusoff[*] & Zulazhar bin Tahir[**]

Pengenalan

Kanak-kanak merupakan aset negara yang sangat penting kerana kepada merekalah segala harapan dan cita-cita negara disandarkan selaku pemimpin di masa hadapan. Kanak-kanak juga adalah golongan yang perlu diberi perlindungan kerana di dalam keadaan-keadaan tertentu, mereka mungkin terdedah kepada pelbagai bahaya sama ada mereka menjadi mangsa atau terlibat dengan perlakuan jenayah. Menyedari hakikat ini, maka pertimbangan utama di dalam segala tindakan yang menyentuh hal ehwal kanak-kanak adalah kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak berkenaan. Ini boleh dilihat di dalam pelbagai undang-undang yang terdapat di negara ini. Walau bagaimanapun, permasalahan mengenai kanak-kanak masih terus berlaku di merata tempat sama ada di dalam atau luar negara. Dalam hal ini kita sering mendengar atau membaca bahawa terdapat kanak-kanak yang diabaikan, ditinggalkan di perhentian bas, di bawah pokok, ada yang ditinggalkan di dalam kereta tanpa penjagaan sewajarnya. Kita juga mendengar bahawa perlakuan jenayah oleh kanak-kanak semakin menjadi-jadi. Jika dulunya perlakuan jenayah oleh kanak-kanak hanyalah jenayah yang kecil atau petty offences tetapi pada masa sekarang terdapat kanak-kanak yang berani melakukan rompakan bersenjata, merogol bahkan ada yang berani membunuh. Persoalannya sekarang ialah siapakah yang harus dipersalahkan jika perkara ini berlaku kepada kanak-kanak di negara ini? Apa yang pasti ialah kanak-kanak ini tidak harus dipersalahkan seratus peratus kerana apa yang berlaku mungkin disebabkan oleh pelbagai faktor yang diluar kawalan mereka. Walau bagaimanapun, sebagaimana yang diketahui umum pihak yang terlibat secara langsung dengan pembesaran dan pembangunan diri kanak-kanak adalah ibu bapa atau penjaga. Ibu bapa atau penjaga telah diberi tugas dan tanggungjawab utama untuk membentuk keperibadian anak-anak kerana mereka mempunyai impak yang besar terhadap perkembangan anak-anak di dalam jagaan mereka.[1] Ibu bapa atau penjaga adalah mereka yang saban hari bercampur gaul dan sentiasa berada di sisi anak-anak. Oleh itu, pasti banyak perkara yang dipelajari oleh anak-anak itu daripada orang yang menjaganya. Sabda Rasullullah s.a.w. yang bermaksud:
Setiap anak itu dilahirkan itu dalam keadaan suci (menganut agama yang benar iaitu Islam), kedua orang tuanyalah yang membuatnya menjadi ibu bapanyalah yang kemudiannya menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.[2]
Apa yang jelas daripada hadis di atas ialah ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu merupakan orang yang sangat penting dalam mencorakkan masa hadapan anak-anak di dalam jagaan mereka termasuklah menentukan keadaan persekitaran di mana kanak-kanak itu akan dibesarkan. Sehubungan dengan itu, di dalam artikel ini, penulis akan cuba mengupas isu yang mencakupi tugas dan peranan ibu bapa atau penjaga ke atas anak yang berada di bawah jagaan mereka.
Dalam kajian yang dijalankan oleh penyelidik-penyelidik seperti Diana Baumrind, SM Dornbusch dan Stanley Coopersmith didapati cara bagaimana seseorang kanak-kanak itu dibesarkan akan mempengaruhi personaliti dan pembangunan sahsiahnya.[3] Kajian juga menunjukkan bahawa kanak-kanak yang kurang mendapat perhatian daripada ibu bapa atau penjaga mereka lebih berkecenderungan untuk terlibat dalam pelbagai masalah sosial.[4] Menyedari hakikat bahawa keluarga merupakan satu institusi penting di dalam pembentukan masyarakat yang dinamik, maka kerajaan harus campur tangan dari awal apabila telah dikenal pasti bahawa terdapat kaitan di antara masalah sosial dan hubungan kekeluargaan. Campur tangan ini adalah penting untuk mengelak keruntuhan sesuatu masyarakat secara keseluruhan.[5] Di dalam hal ini kerajaan boleh memainkan peranannya dengan menggubal undang-undang yang mengenekan kewajipan tertentu teratas ibu bapa atau penjaga bagi menjaga kebajikan, kepentingan atau kesejahteraan kanak-kanak yang berada di bawah jagaan mereka.

Asas Undang-Undang Perlindungan Terhadap Kanak-Kanak Di Peringkat Antarabangsa

Kewujudan undang-undang yang memperuntukkan perlindungan terhadap kanak-kanak bukanlah satu perkara yang baru. Sejarah menunjukkan bahawa beberapa negara seperti Amerika Syarikat dan England telah mempunyai undang-undang dan perkhidmatan kebajikan kanak-kanak bagi melindungi kanak-kanak yang didera atau diabaikan seawal abad ke 17 dan 18.[6] Kebangkitan sentimen mengenai isu kanak-kanak yang didera telah memuncak kembali pada awal tahun 1960an berdasarkan penyelidikan yang telah dijalankan oleh Dr Henry Kempe iaitu seorang pakar kanak-kanak di Amerika Syarikat.[7] Sejak dari itu, kesedaran dan usaha untuk menangani masalah mengenai kanak-kanak telah diperhebatkan.
Menyedari hakikat bahawa masa depan kanak-kanak semakin terancam, sama ada oleh perbuatan individu atau perbuatan mereka sendiri atau kegagalan pihak kerajaan mengambil langkah positif ke arah memastikan kesejahteraan dan keselamatan kanak-kanak, maka satu inisiatif positif telah digerakkan oleh masyarakat antarabangsa untuk meletakkan kepentingan kanak-kanak di landasan yang sepatutnya. Inisiatif ini boleh dilihat di dalam Konvensyen Hak Kanak-Kanak yang telah diratifikasikan oleh hampir semua negara di dunia ini.[8] Malaysia merupakan antara negara yang telah menandatangani dan meratifikasikan Konvensyen Hak Kanak-Kanak. Antara perkara penting di dalam Konvensyen ini ialah pengiktirafan terhadap hak kanak-kanak ke atas beberapa perkara asas iaitu hak untuk hidup, hak kepada pembangunan, hak untuk dilindungi daripada pengaruh yang merosakkan, penderaan dan eksploitasi dan akhir sekali hak untuk bersama dengan keluarga, kebudayaan dan kehidupan sosial.[9]
Artikel 5 dan 19(1) Konvensyen Hak Kanak-Kanak berbunyi:
Artikel 5
States Parties shall respect the responsibilities, rights and duties of parents or, where applicable, the members of the extended family or community as provided for by local custom, legal guardians or other persons legally responsible for the child, to provide, in a manner consistent with the evolving capacities of the child, appropriate direction and guidance in the exercise by the child of the rights recognized in the present Convention.
Artikel 19
1. States Parties shall take all appropriate legislative, administrative, social and educational measures to protect the child from all forms of physical or mental violence, injury or abuse, neglect or negligent treatment, maltreatment or exploitation, including sexual abuse, while in the care of parent(s), legal guardian(s) or any other person who has the care of the child.
Jika kita merujuk kepada artikel 5, adalah dipersetujui bahawa ibu bapa atau penjaga mempunyai tugas dan tanggungjawab di dalam pemeliharaan kanak-kanak dan ini harus dihormati oleh kerajaan sesebuah negara. Walau bagaimanapun, pada masa yang sama Konvensyen ini melalui artikel 19 menekankan pentingnya kerajaan sesebuah negara untuk mengambil langkah-langkah perlu sama ada dalam bentuk perundangan, pentadbiran, langkah sosial serta ekonomi untuk melindungi kanak-kanak itu daripada penderaan oleh ibu bapa atau penjaga mereka.

Asas Undang-Undang Perlindungan Terhadap Kanak-Kanak di Malaysia

Undang-undang mengenai perlindungan terhadap kanak-kanak di Malaysia juga boleh dilihat seawal tahun 1947 dengan Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda, Akta Mahkamah Juvana 1947, Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 1973 dan Akta Perlindungan Kanak-Kanak pada 1991. Walau bagaimanapun, menyedari hakikat bahawa terdapat keperluan untuk mengubah hala tuju konsep perlindungan terhadap kanak-kanak dan juga mengakui bahawa perlunya pembaharuan di dalam undang-undang sejajar dengan perkembangan semasa, maka satu akta yang khusus dan komprehensif mengenai kanak-kanak telah digubal dan diluluskan iaitu Akta Kanak-Kanak 2001[10] (selepas ini akan disebut Akta 611) dan telah berkuat kuasa pada 1 Ogos 2002.[11] Tajuk panjang Akta 611 berbunyi:
Suatu Akta untuk menyatukan dan meminda undang-undang yang berhubungan dengan pemeliharaan, pelindungan dan pemulihan kanak-kanak dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara-perkara yang berkaitan dan bersampingan dengannya.
Akta 611 merupakan satu Akta yang merangkumi pelbagai isu penting mengenai kanak-kanak.[12] Antara perkara penting yang diketengahkan oleh Akta 611 adalah tugas dan tanggungjawab ibu bapaatau penjaga[13] dalam memelihara kesejahteraan kanak-kanak, tanggungjawab untuk memaklumkan kes-kes penderaan kanak-kanak, penubuhan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak, prosedur perbicaraan, hukuman dan sebagainya.

Tanggungjawab Undang-Undang

Semua pihak mempunyai tanggungjawab dan tugas masing-masing sama ada tanggungjawab dari segi moral atau dari segi undang-undang. Tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa atau penjaga mempunyai tugas dan tanggungjawab ke atas anak-anak di bawah jagaan mereka. Selaras dengan itu, peruntukan-peruntukan yang mengenakan tugas dan tanggungjawab undang-undang kepada ibu bapa atau penjaga telah diwujudkan di dalam Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1991 dan kemudiannya telah diperkemaskan di dalam Akta 611. Apa yang pasti di antara tujuan utama peruntukan-peruntukan seumpama ini dimasukkan adalah supaya ibu bapa atau penjaga akan lebih bertanggungjawab dan mengambil berat akan keadaan anak-anak mereka.[14]

a) Tugas Untuk Memaklumkan

Akta 611 melalui seksyen 28(1) telah mengenakan tugas kepada ahli-ahli keluarga kanak-kanak untuk memaklumkan kepada Pelindung[15]jika mereka mempunyai alasan-alasan yang munasabah bahawa kanak-kanak itu telah dicederakan dari segi fizikal atau emosi akibat teraniaya, terabai, terbuang atau terdedah, atau teraniaya dari segi seks. Rasional ahli-ahli keluarga kanak-kanak dikenakan tugas untuk memaklumkan tentang kemungkinan seseorang kanak-kanak itu didera adalah kerana mereka merupakan antara pihak yang dekat dengan kanak-kanak tersebut. Mereka ini juga berkemungkinan besar mengetahui kenapa seseorang kanak-kanak itu didera. Tambahan pula, perlakuan penderaan terhadap kanak-kanak atau keganasan rumah tangga merupakan jenayah belakang tabir yang berlaku jauh daripada pengetahuan pihak lain. Oleh itu, ahli-ahli keluarga kanak-kanak itu sebenarnya berada dalam kedudukan terbaik untuk mengetahui jika berlaku sebarang penderaan terhadap kanak-kanak yang mendiami rumah yang sama. Seksyen 2 Akta 611 mendefinisikan anggota keluarga sebagai "termasuklah ibu bapa atau penjaga atau seseorang anggota keluarga luas yang merupakan seorang anggota rumah". Seksyen 2 juga mendefinisikan anggota rumah sebagai seseorang yang pada lazimnya tinggal serumah dengan seorang kanak-kanak. Peruntukan ini amnya mensasarkan kepada sesebuah rumah tangga yang mempunyai ahli yang ramai atau di mana sesebuah extended family[16] itu tinggal. Oleh itu, adalah diharapkan dengan pengenaan tugas ini sekurang-kurangnya masalah penderaan terhadap kanak-kanak boleh dikesan pada peringkat yang lebih awal dan tindakan sewajarnya boleh diambil.
Kegagalan mana-mana ahli keluarga itu untuk memaklumkan perlakuan penderaan terhadap kanak-kanak yang berlaku di dalam rumah yang didiaminya merupakan satu kesalahan. Namun begitu, jika disabitkan, ahli keluarga yang berkenaan boleh dilepaskan dengan bon atas syarat-syarat yang ditentukan oleh mahkamah. Hanya setelah ahli keluarga ini tidak mematuhi mana-mana syarat yang telah ditetapkan di dalam bon berkenaan, barulah mereka boleh didenda tidak melebihi RM5,000.00 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.[17]

b) Kehadiran Ibu bapa atau Penjaga Semasa Perbicaraan

Seksyen 88(1) Akta 611 memperuntukkan bahawa jika seseorang kanak-kanak dituduh atas apa-apa kesalahan, maka Mahkamah Bagi Kanak-Kanak hendaklah memerintahkan supaya ibu dan bapa kanak-kanak tersebut hadir ke mahkamah kecuali Mahkamah berpuashati bahawa adalah tidak munasabah untuk mengehendaki kehadiran mereka. Peruntukan mengehendaki ibu bapa atau penjaga hadir di mahkamah semasa perbicaraan adalah satu peruntukan mandatori. Hal ini telah dijelaskan di dalam kes Sia Yik Hung v Public Prosecutor.[18] Di dalam kes ini, Mahkamah Tinggi menyatakan bahawa kegagalan Majistret untuk memanggil ibu bapa ke mahkamah sedangkan ia diperlukan mengikut seksyen 9 Akta Mahkamah Juvana adalah suatu "failure of justice". Menurut Mahkamah, perkataan "and shall" adalah peruntukan mandatori.[19]
Walau bagaimanapun, Mahkamah Bagi Kanak-Kanak mempunyai kuasa untuk memerintahkan supaya ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu keluar daripada mahkamah. Keadaan ini mungkin berlaku apabila mahkamah berasa bahawa perintah sedemikian adalah perlu untuk kepentingan kanak-kanak itu.[20] Bagi ibu bapa atau penjaga yang gagal untuk menghadirkan diri di Mahkamah Kanak-Kanak apabila mereka dikehendaki berbuat demikian ia merupakan satu kesalahan dan boleh didenda tidak melebihi RM 5,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.[21]

c) Penyempurnaan Bon Kelakuan Baik

Mahkamah Bagi Kanak-Kanak mempunyai kuasa untuk menjatuhkan hukuman-hukuman tertentu apabila kesalahan telah dibuktikan terhadap seorang kanak-kanak tersebut. Sebagai kuasa tambahan, Mahkamah Bagi Kanak-Kanak juga boleh memerintahkan supaya ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu menyempurnakan suatu bon bagi kelakuan baik kanak-kanak itu.[22] Mahkamah Kanak-Kanak juga mempunyai kuasa untuk mengenakan satu atau lebih daripada syarat-syarat tambahan di bawah kepada bon berkenaan dan antaranya ialah:
a) Bahawa ibu bapa atau penjaga dengan ditemani oleh kanak-kanak itu hendaklah melaporkan diri di jabatan kebajikan atau balai polis yang berhampiran dengan kediaman ibu bapa atau penjaga pada lat tempoh yang telah ditetapkan oleh mahkamah;[23]
b) Bahawa ibu bapa atau penjaga dengan ditemani oleh kanak-kanak itu menghadiri bengkel interaktif yang dianjurkan oleh pusat-pusat tertentu;[24]
c) Bahawa ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu berunding dengan guru, guru besar atau pengetua kanak-kanak itu sebulan sekali sepanjang tempoh bon jika kanak-kanak itu berada di sesuatu institusi pendidikan;[25]
d) Jika kanak-kanak itu dihantar ke sekolah yang diluluskan atau Sekolah Henry Gurney,[26] maka ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu hendaklah melawat kanak-kanak itu secara tetap sebagaimana yang ditentukan oleh mahkamah atau.[27]
e) Atau apa-apa syarat lain yang difikirkan patut oleh mahkamah.[28]
Laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) ketika menjalankan lawatan ke Sekolah Henry Gurney menunjukkan bahawa kurangnya ibu bapa atau penjaga melawat anak-anak mereka yang ditempatkan di sekolah berkenaan. Antara alasan yang telah diberikan ialah kekurangan wang dan jarak sekolah berkenaan yang jauh dari rumah mereka. Sehubungan dengan itu, pihak Suhakam telah mencadangkan supaya Jabatan Penjara Malaysia memberikan subsidi atau bantuan perjalanan kepada ibu bapa kanak-kanak ini dan juga menyediakan tempat penginapan kepada mereka yang datang daripada jauh. Ini adalah kerana sokongan dan dorongan daripada ahli-ahli keluarga adalah penting untuk memberangsangkan pemulihan penghuni-penghuni Sekolah Henry Gurney ini.[29]
Menyedari hakikat bahawa kebanyakan ibu bapa atau penjaga tidak melawat anak mereka yang dihantar ke Sekolah Henry Gurney, maka kerajaan telah memutuskan untuk menjadikan lawatan sebagai satu tanggungjawab statutori ibu bapa atau penjaga. Lantaran daripada itu, ibu bapa atau penjaga yang gagal mematuhi mana-mana syarat yang telah dinyatakan di dalam seksyen 93(1) Akta 611, jika disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM 5,000.00 dan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak boleh memerintahkan supaya jaminan dilucuthakkan.[30] Walau bagaimanapun, hak untuk didengar hendaklah diberikan kepada ibu bapa atau penjaga sebelum perintah di bawah seksyen 93(1) Akta 611 boleh dibuat,[31] melainkan dapat dibuktikan bahawa ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu setelah dikehendaki hadir, telah tidak berbuat demikian atau tidak ada atau tidak dapat ditemui dalam masa yang munasabah.[32]

d) Pemeliharaan dan Penjagaan Yang Sepatutnya Oleh Ibu bapa atau Penjaga

Jika Mahkamah Bagi Kanak-Kanak mendapati mana-mana kanak-kanak yang dibawa ke hadapannya memerlukan pemeliharaan dan perlindungan, maka mahkamah antara lain boleh memerintahkan supaya ibu bapa atau penjaganya menyempurnakan bon untuk menjalankan pemeliharaan dan penjagaan yang sepatutnya selama suatu tempoh yang dinyatakan oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak.[33] Peruntukan mengenai penyempurnaan bon ini adalah untuk memastikan kanak-kanak berkenaan bebas daripada sebarang bentuk penderaan. Ia juga merangkumi keadaan di mana terdapat pengabaian atau pertelingkahan antara kanak-kanak itu dengan ibu bapa atau penjaganya.[34] Selain itu, Mahkamah Bagi Kanak-Kanak juga boleh membuat perintah supaya kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan itu diletakkan di bawah jagaan seseorang yang layak atau sesuai,[35] atau membuat perintah supaya kanak-kanak itu diletakkan di bawah jagaan seorang Pelindung atau orang lain yang dilantik oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak,[36] atau membuat perintah meletakkan kanak-kanak berkenaan di tempat selamat,[37] atau bagi kanak-kanak yang tidak mempunyai ibu bapa, mencari ibu bapa peliharaan yang didapati sesuai oleh Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak itu.[38]
Apabila Mahkamah Bagi Kanak-Kanak membuat perintah seperti yang dinyatakan di atas, beberapa arahan atau syarat sampingan boleh dibuat oleh mahkamah bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak itu. Antara arahan atau syarat berkenaan adalah:
a) bahawa ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu yang ditemani oleh kanak-kanak itu hendaklah menghadiri bengkel interaktif yang dianjurkan di pusat-pusat yang ditetapkan yang ditubuhkan bagi maksud sedemikian;[39]
b) jika kanak-kanak itu diletakkan di suatu tempat selamat, bahawa ibu bapa atau penjaganya hendaklah melawat kanak-kanak itu secara tetap sebagaimana yang ditentukan oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak; atau[40]
c) jika kanak-kanak itu berada di sesuatu institusi pendidikan, bahawa ibu bapa atau penjaganya hendaklah berunding dengan guru atau guru besar atau pengetua kanak-kanak itu sebulan sekali.[41]
Kesimpulan yang dapat dibuat apabila perintah-perintah seperti di atas dikenakan teratas ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu adalah supaya orang-orang yang sepatutnya rapat dengan kanak-kanak itu tidak menjauhkan diri dari kanak-kanak apabila kanak-kanak tersebut dihantar ke tempat-tempat tertentu. Kehadiran ibu bapa atau penjaga boleh menjadi perangsang kepada kanak-kanak itu untuk meneruskan kehidupan mereka kerana kehadiran ibu bapa atau penjaga itu menunjukkan bahawa mereka masih dihargai. Dalam kes Public Prosecutor v Nazarudin bin Ahmad & Ors,[42] tertuduh ketiga telah membuat permohonan kepada mahkamah untuk ditempatkan di Penjara Taiping dan bukannya Penjara Kajang. Menurut Yang Arif Hakim, sungguhpun mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk menentukan penjara manakah seseorang yang telah disabitkan dengan kesalahan akan ditempatkan, tetapi mengambil kira faktor bahawa umur tertuduh yang masih muda dan ahli keluarganya berada di Taiping, maka dicadangkan supaya dia di hantar ke Penjara Taiping. Menurut Yang Arif Hakim:
Visitation and constant contact by the family are crucial for a person of such young age serving a prison sentence. A term of imprisonment in such a situation without constant family contacts may have the adverse social problem of making a person of such youth and immaturity become a hard core criminal.[43]
Sungguhpun kes di atas melibatkan pesalah muda[44] yang dijatuhkan hukuman penjara tetapi mahkamah masih berpendapat lawatan dan pertemuan yang berterusan oleh ahli keluarga adalah sangat perlu kepada pesalah muda yang sedang menjalani hukuman penjara. Dari segi analogi, perkara yang sama juga diperlukan apabila seseorang kanak-kanak itu dihantar ke Sekolah Henry Gurney atau Pusat Pemulihan iaitu lawatan dan perhubungan yang berterusan dengan ahli keluarga. Menurut Profesor Chiam Heng Keng:
The importance of imparting to children the message that adults care and desire to be of assistance will go a long way in reducing incidence of juvenile delinquency. Underlying every individual is the need to be loved, accepted and to belong. This need is so strong that if it is not possible to have this need be fulfilled in acceptable ways, the individual will seek its gratification by hook or by crook.
Our reaction to the juvenile delinquents should not be one of accusation. Instead, we should look for ways to restore them.[45]
Pengenaan tanggungjawab undang-undang ini ke atas ibu bapa atau penjaga sebenarnya adalah untuk mengelak kanak-kanak ini kembali melakukan perbuatan jenayah apabila mereka dibebaskan kelak. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Profesor Abdul Hadi Zakaria, perlakuan kanak-kanak boleh diperbaiki dengan meningkatkan hubungan mereka dengan ahli keluarga yang lain.[46] Ini adalah perlu kerana apabila kanak-kanak yang ditahan dibebaskan kelak mereka mungkin mengalami masalah untuk menyesuaikan diri mereka kecuali masyarakat dapat menerima mereka. Berdasarkan kajian yang dijalankan di pusat akhlak, hanya 35.7 peratus sahaja gadis yang berada di pusat akhlak dilawati oleh keluarga mereka setiap bulan.[47] Manakala 14.3 peratus yang lain dilawati sekali dalam dua hingga tiga bulan, 14.3 peratus berikutnya menerima lawatan sekali bagi setiap lima hingga lapan bulan manakala yang lain langsung tidak dilawati sepanjang tempoh mereka berada di pusat akhlak berkenaan.[48]
Di samping itu, terdapat beberapa kategori pelatih yang tidak dibenarkan menerima pelawat. Walau bagaimanapun, perhubungan dengan ahli keluarga atau kawan masih boleh dibuat melalui surat. Berdasarkan kajian yang dijalankan, hanya 14.3 peratus pelatih menerima sekurang-kurangnya sepucuk surat pada setiap bulan.[49] Manakala 48.9 peratus pelatih langsung tidak pernah menerima surat sepanjang mereka berada di pusat akhlak. Berdasarkan temu bual yang dijalankan, ada pelatih menyatakan bahawa ahli keluarga telah "membuang" mereka ataupun ahli keluarga berasa bahawa tanggungjawab mereka telah beralih kepada kerajaan apabila kanak-kanak berkenaan ditahan di pusat akhlak.[50] Tanggapan seumpama ini adalah salah dan harus dikikis oleh ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu. Tanggungjawab terhadap kanak-kanak berkenaan masih tidak berubah iaitu terletak di bahu ibu bapa atau penjaga. Peranan kerajaan atau agensi-agensi yang berkenaan adalah untuk membantu memulihkan kanak-kanak yang bermasalah dan ibu bapa atau penjaga perlu menyuntik sesuatu yang sangat penting iaitu kasih sayang dan perhatian keluarga. Apabila gandingan antara agensi-agensi kerajaan dan ibu bapa atau penjaga ini berjalan dengan lancar, maka hasilnya sudah pasti akan lebih memuaskan daripada membiarkan kanak-kanak ini tanpa kasih sayang yang sewajarnya dari ahli keluarga.
Memandangkan bahawa tugas ini merupakan tanggungjawab undang-undang maka kegagalan mana-mana ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu untuk mematuhi arahan atau syarat yang telah dikenakan oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak adalah satu kesalahan dan boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM5,000.00 jika di- dapati bersalah.[51]

e) Tanggungjawab Untuk Tidak Menganiaya, Mengabai, Membuang atau Mendedahkan Kanak-kanak

Penderaan terhadap kanak-kanak sama ada dari segi fizikal, emosi atau seksual bukanlah satu perkara yang baru di negara ini. Ada kanak-kanak yang dirogol oleh bapa kandung, bapa tiri, datuk, abang dan sebagainya.[52] Ada kanak-kanak yang didera dengan pelbagai cara yang tidak pernah terfikir oleh manusia normal - penderaan ini boleh dilakukan oleh seorang ibu bapa atau penjaga ke atas anak-anak mereka.[53] Lantaran itu, seksyen 31(1) Akta 611 memperuntukkan bahawa sekiranya mana-mana orang yang mempunyai tugas pemeliharaan seorang kanak-kanak, menganiaya, mengabaikan, membuang atau mendedahkan kanak-kanak itu atau menyebabkan atau membenarkan kanak-kanak itu dianiaya, diabai, dibuang atau didedah hingga mungkin menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi atau seksual, maka orang berkenaan telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 31 Akta 611. Akta 611 juga telah memperuntukkan bahawa ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu dianggap mengabaikan kanak-kanak itu jika tidak menyediakan kepada kanak-kanak berkenaan makanan, pakaian, rawatan perubatan atau pergigian, penginapan atau pemeliharaan yang mencukupi sekiranya beliau berupaya mempersediakan perkara-perkara di atas.[54] Jika seseorang itu didapati bersalah di bawah seksyen 31 Akta 611, maka hukuman yang berat boleh dikenakan iaitu denda tidak melebihi RM 10,000.00 atau penjara tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya. Selain itu, mahkamah juga boleh memerintahkan orang berkenaan menyempurnakan bon kelakuan baik.[55]

f) Kanak-Kanak Digunakan Sebagai Pengemis dan Lain-lain

Penggunaan kanak-kanak sebagai pengemis bukanlah satu fenomena yang baru kerana di banyak tempat, terutamanya di kawasan bandar, kanak-kanak digunakan untuk mengemis atau menjaja. Perkara yang sama juga berlaku di negara jiran di mana kanak-kanak digunakan untuk menjaja di tepi-tepi jalan tanpa menghiraukan bahaya yang datang.[56] Terdapat keadaan di mana kanak-kanak telah digunakan oleh pihak-pihak tertentu bagi memungut derma atas pelbagai tujuan.[57] Menyedari hakikat bahawa perlakuan ini adalah sangat berbahaya kepada keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak maka satu peruntukan yang khusus telah dimasukkan di dalam Akta 611. Seksyen 32 Akta 611 memperuntukkan bahawa mana-mana orang termasuk ibu bapa atau penjaga yang menyebabkan atau mengakibatkan mana-mana kanak-kanak itu mengemis atau meminta sedekah dengan cara menyanyi, bermain, membuat persembahan atau menawarkan apa-apa untuk jualan atau menjalankan perniagaan yang menyalahi undang-undang seperti loteri haram, perjudian atau lain-lain aktiviti yang memudaratkan kesihatan dan kebajikan kanak-kanak itu adalah melakukan kesalahan dan jika disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM5,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.[58]

g) Membiarkan Kanak-Kanak Tanpa Pengawasan

Terdapat banyak kes yang mengakibatkan bencana kepada kanak-kanak yang ditinggalkan bersendirian di rumah atau di dalam kenderaan. Pada 18 April 2001, tiga orang kanak-kanak telah terkorban dalam satu kejadian kebakaran. Dalam kejadian ini, kanak-kanak berkenaan ditinggalkan tanpa pengawasan oleh pengasuh.[59] Seorang kanak-kanak berusia lima tahun telah terbunuh apabila terjatuh daripada sebuah pangsapuri.[60] Kanak-kanak ini dilaporkan keluar untuk mencari ibunya tetapi gagal.[61] Manakala seorang kanak-kanak yang ditinggalkan bersendirian di dalam kenderaan bapanya telah dilarikan oleh pencuri yang cuba mencuri kereta berkenaan.[62] Begitu juga dengan kejadian di mana tiga orang kanak-kanak berserta ibu mereka yang sedang sarat mengandung mati di dalam kereta kerana terhidu gas karbon dioksida yang berlebihan. Di dalam kejadian berkenaan, bapa kanak-kanak berkenaan telah meninggalkan anak-anaknya dan juga isteri di dalam kereta dengan penghawa dingin yang terpasang selama beberapa jam.[63]
Permasalahan ini cuba diratifikasikan dengan memperuntukkan bahawa ibu bapa atau penjaga kanak-kanak yang meninggalkan kanak-kanak itu tanpa mengadakan persediaan bagi pengawasan atau pemeliharaan yang berpatutan untuk satu tempoh yang lama, atau meninggalkan kanak-kanak berkenaan di dalam keadaan yang tidak berpatutan, melakukan kesalahan di bawah seksyen 33 Akta 611 dan boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM5,000.00 atau di penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Peruntukan ini lebih menjurus ke arah mengelakkan kecuaian di pihak ibu bapa atau penjaga yang mengambil sikap kurang berhemat atau berhati-hati. Peruntukan ini bukan hanya untuk ibu bapa atau penjaga yang meninggalkan anak atau kanak-kanak di bawah jagaan mereka di dalam kereta tetapi juga dihujahkan terpakai kepada mereka yang meninggalkan anak-anak tanpa penjagaan di dalam rumah.

h) Sumbangan Oleh Ibu bapa atau Penjaga

Tugas dan tanggungjawab ibu bapa atau penjaga tidak hilang hanya kerana anak mereka telah diperintahkan supaya diletakkan di bawah jagaan orang yang layak,[64]atau kerana kanak-kanak berkenaan dihantar ke asrama akhlak, sekolah yang diluluskan, Sekolah Henry Gurney, institusi atau pusat yang diluluskan[65] atau diletakkan di tempat perlindungan. Mengikut seksyen 108 Akta 611, Mahkamah Bagi Kanak-Kanak yang membuat perintah seperti di atas boleh mengeluarkan satu perintah sampingan iaitu mengarahkan ibu bapa atau penjaga membuat apa-apa sumbangan atau sumbangan bulanan setelah mengambil kira keadaan kemampuan ibu bapa atau penjaga.[66] Perintah sumbangan seperti di dalam seksyen 108(1) Akta 611 juga hanya boleh dibuat setelah Mahkamah Bagi Kanak-Kanak memberi peluang kepada ibu bapa atau penjaga kanak-kanak tersebut peluang untuk didengar.[67]
Perintah sumbangan ini juga boleh dihapuskan, diperbaharui atau diubah jika permohonan telah dibuat oleh ibu bapa atau penjaga kanak-kanak berkenaan, Pelindung atau pegawai akhlak.[68] Sesuatu perintah sumbangan yang telah dibuat oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak adalah berkuatkuasa selama kanak-kanak itu berada di bawah pemeliharaan seseorang yang layak. Bagi kanak-kanak yang berada di institusi yang diluluskan atau Sekolah Henry Gurney, perintah sumbangan ini akan terus berkuatkuasa sehingga kanak-kanak itu tidak lagi berada di bawah pemeliharaan orang yang sedang menjaga tempat perlindungan, asrama akhlak, sekolah diluluskan, Sekolah Henry Gurney atau institusi atau pusat yang diluluskan itu.[69]
Apabila ibu bapa atau penjaga dengan sengaja mengengkari perintah sumbangan ini, maka Mahkamah Bagi Kanak-Kanak boleh dengan waran mengarahkan supaya amaun yang tertunggak itu dilevi dengan cara yang diperuntukkan oleh undang-undang. Mahkamah Bagi Kanak-Kanak juga boleh menjatuhkan hukuman penjara sebagai alternatif, iaitu satu bulan penjara bagi satu bulan sumbangan yang masih belum dibayar. Walau bagaimanapun, tempoh pemenjaraan berkenaan akan tamat apabila amaun sumbangan yang kena dibayar itu telah dijelaskan.

i) Pembayaran Pampasan Oleh Ibu bapa atau Penjaga

Jika seseorang kanak-kanak dituduh dengan kesalahan yang boleh dikenakan denda dan pampasan atau kos atau kedua-duanya, dan mahkamah berpendapat bahawa kes berkenaan boleh diselesaikan sebaik-baiknya dengan mengenakan kesemua atau mana-mana penalti di atas selain daripada hukuman lain, maka mahkamah boleh memerintahkan supaya denda yang dikenakan itu atau award pampasan atau kos itu dibayar oleh ibu bapa atau penjaga kanak-kanak berkenaan.[70] Walau bagaimanapun, perintah ini tidak akan dibuat jika ibu bapa atau penjaga kanak-kanak berkenaan tidak dapat ditemui dalam masa yang munasabah ataupun mereka tidak terlibat dalam membantu menyebabkan perlakuan kesalahan berkenaan kerana cuai dalam memelihara kanak-kanak berkenaan dengan sewajarnya.[71] Di dalam kes Public Prosecutor v Saiful Afikin bin Mohd Firus,[72] responden yang merupakan seorang pesalah muda telah mengaku salah di atas tuduhan mematikan orang dengan salah. Pada masa melakukan kesalahan berkenaan beliau berumur 16 tahun. Mahkamah Juvana yang mendengar kes berkenaan telah membuat beberapa perintah dan antaranya adalah supaya penjaga beliau membayar sebanyak RM 1,500.00 kepada keluarga mangsa sebagai pampasan. Seksyen 13 Akta Mahkamah Juvana memperuntukkan bahawa apabila mahkamah mendapati bahawa kesalahan terhadap kanak-kanak itu adalah terbukti, mahkamah boleh membuat beberapa arahan yang termasuk memerintahkan ibu bapa atau penjaga membayar pampasan. Sebelum ibu bapa atau penjaga diarahkan untuk membayar pampasan, hak untuk didengar hendaklah diberikan. Walau bagaimanapun, di dalam kes ini, ibu kanak-kanak berkenaan tidak ditanya tentang pembayaran pampasan ini. Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Mahkamah Juvana telah melakukan satu kesilapan yang serius dan menjadikan arahan tersebut tidak sah.
Jika Mahkamah Bagi Kanak-Kanak mendapati kesalahan terhadap kanak-kanak berkenaan telah terbukti atau kanak-kanak itu mengakui fakta yang mewujudkan kesalahan, maka mahkamah boleh membuat perintah yang mengehendaki ibu bapa atau penjaga kanak-kanak berkenaan membayar pampasan atau kos atau memberi jaminan bagi kelakuan baik kanak-kanak berkenaan.[73] Apabila ibu bapa atau penjaga memberi jaminan berkelakuan baik bagi seorang kanak-kanak, maka salah satu syarat di dalam seksyen 93(1) Akta 611[74] boleh dikenakan ke atas ibu bapa atau penjaga kanak-kanak berkenaan.[75] Kegagalan ibu bapa atau penjaga kanak-kanak berkenaan mematuhi syarat-syarat jaminan tersebut boleh menyebabkan jaminan yang diberikan itu dilucuthakkan.[76]

Kesimpulan

Apa yang jelas daripada peruntukan-peruntukan yang telah dibincangkan di atas adalah bahawa tugas dan tanggungjawab ibu bapa atau penjaga kanak-kanak tidak akan terlepas jika kanak-kanak di bawah jagaan mereka terlibat dengan sebarang perlakuan jenayah. Kini ibu bapa atau penjaga diajak bersama-sama untuk membantu menangani masalah sosial yang dialami oleh kanak-kanak di bawah jagaan mereka. Adalah tidak adil kepada semua pihak jika ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu bersikap "lepas tangan" selepas anak mereka didapati melakukan sesuatu kesalahan. Pada masa yang sama, ibu bapa atau penjaga juga harus menjalankan tugas yang telah diamanahkan kepada mereka dengan sebaik mungkin dan mengelak daripada sebarang perbuatan penderaan, pengabaian dan kecuaian yang boleh mengakibatkan penderitaan sama ada dari segi fizikal atau emosi kepada kanak-kanak di bawah jagaan mereka. Pengenaan tugas dan tanggungjawab melalui undang-undang ke atas ibu bapa atau penjaga kanak-kanak merupakan satu kaedah untuk memastikan kanak-kanak yang telah terlibat dengan jenayah atau yang menjadi mangsa deraan tidak terus hanyut dan menderita. Walau bagaimanapun, menuding jari semata-mata tidak akan membantu, sebaliknya semua pihak harus bekerjasama bagi mengatasi segala masalah yang berkaitan dengan kanak-kanak. Tujuan dan matlamatnya adalah jelas iaitu supaya kanak-kanak di negara ini dapat hidup di dalam keadaan yang sempurna dan sejahtera.
[*] DPA (UITM), LLB (Hons) (Malaya), LLM (Malaya); Pensyarah Kanan, Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya.
[**] LLB (Hons) (Malaya), LLM (Malaya); Pensyarah, Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya.
[1] Hammudah `Abd Al'Ati, Keluarga Muslim (The Family Structure in Islam) (Johor Bharu: Penamas Sdn Bhd [Edisi Malaysia], 1985) di ms 207-208.
[2] Hadis riwayat Abu Hurairah r.a.
[3] Lihat Chiam, HK, Understanding Children (Kuala Lumpur: Pelanduk Publication, 1995) di ms 3.
[4] Ibid, di ms 5-6.
[5] Zaleha Kamaruddin, Isu-Isu Kekeluargaan dan Undang-Undang (Kuala Lumpur, ABIM, 1997) di ms 31
[6] Lihat Tower, CC, Understanding Child Abuse and Neglect (Boston: Allyn and Bacon, 1989) di ms 10-11.
[7] Lihat Cobley, C, Child Abuse & The Law (London: Cavendish Publishing Ltd, 1995).
[8] Sebanyak 191 buah negara telah meraktifikasi Konvesyen ini. Lihat www.unicef.org/crc/crc.htm.
[9] Lihat juga Aneeta Kulasegaran, "Women's and Children's Rights And The Protection Offered By Domestic Law", kertas yang dibentangkan di 12th Commonwealth Law Conference di Kuala Lumpur, September 1999.
[10] Akta 611 ini telah berkuatkuasa mulai 1 Ogos 2001.
[11] Akta 611 telah memansuhkan pemakaian Akta Mahkamah Juvana 1947, Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 1973 dan juga Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1991.
[12] Kanak-kanak didefinisikan oleh s 2 Akta 611 sebagai seseorang yang berumur di bawah 18 tahun dan berhubungan dengan prosiding jenayah, ertinya seseorang yang sudah mencapai umur bagi tanggungjawab jenayah sebagaimana yang ditetapkan dalam s 82 Kanun Keseksaan.
[13] Penjaga didefinisikan oleh s 2 Akta 611 sebagai mana-mana orang yang, pada pendapat Mahkamah Bagi Kanak-Kanak yang mengambil perhatian tentang apa-apa kes yang berhubungan dengan kanak-kanak itu atau yang melibatkan kanak-kanak itu, sedang mempunyai penjagaan atau kawalan ke atas kanak-kanak itu.
[14] Lihat artikel yang ditulis oleh Mimi Kamariah Majid, "Akta Kanak-Kanak 2001: Cadangan Pindaan Undang-Undang Berkenaan Gejala Sosial" di dalam Siti Zaharah (penyunting), Siri Undang-Undang Mimi Kamariah: Akta Kanak-Kanak 2001 (Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, 2002) di ms 16.
[15] "Pelindung" ertinya
a) Ketua Pengarah;
b) Timbalan Ketua Pengarah;
c) Seorang Pengarah Bahagian bagi Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat;
d) Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri bagi setiap Negeri;
e) Mana-mana Pegawai Kebajikan Masyarakat yang dilantik di bawah s 8.
[16] "Extended family" merupakan sebuah keluarga besar di mana terdapat datuk, nenek dan saudara mara terdekat yang lain.
[17] Lihat ss 28(2) dan (3) Akta 611.
[18] [1998] 1 MLJ 450.
[19] Peruntukan yang relevan di dalam kes ini adalah s 9 Akta Mahkamah Juvana 1947 yang berbunyi :
Jika seseorang kanak-kanak atau orang muda dipertuduh atas sesuatu kesalahan atau oled kerana sesuatu sebab lain dibawa ke hadapan suatu Mahkamah Juvana, ibu bapa atau penjaganya boleh dalam mana-mana hal, dan hendaklah, jika dia boleh dijumpai dan tinggal di kawasan yang jaraknya adalah munasabah, dikehendaki hadir pada semua peringkat prosiding mahkamah yang di hadapannya kes itu dibicarakan atau diputuskan melainkan jika Mahkamah berpuas hati bahawa adalan tidak munasabah untuk menghendaki ibu bapa atan penjaga itu hadir.
[20] Lihat Mimi Kamariah Majid, supra, n 14 di ms 36.
[21] Lihat s 88(2) Akta 611.
[22] Lihat s 93(3) Akta 611 yang mana ia memperuntukkan bahawa hak untuk didengar hendaklah diberikan kepada ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu sebelum Mahkamah Bagi Kanak-Kanak membuat perintah di dalam s 93(1).
[23] Akta 611, s 93(1)(a).
[24] Akta 611, s 93(1)(b).
[25] Akta 611, s 93(1)(c).
[26] Sekolah Henry Gurney ertinya sesuatu sekolah
a) yang ditubuhkan atau ditetapkan di bawah s 73; dan
b) di bawah arahan dan kawalan Ketua Pengarah Penjara dan diluluskan oleh Menteri bagi pendidikan, latihan dan penahanan orang-orang yang dihantar ke situ menurut Bah X.
[27] Akta 611, s 93(1)(d).
[28] Akta 611, s 93(1)(e).
[29] Lihat laporan Suhakam di www.suhakam.org.my.
[30] Akta 611, s 93(2).
[31] Akta 611, s 93(3).
[32] Akta 611, s 93(4).
[33] Akta 611, s 30(1)(a). Perintah ini hanya boleh dibuat oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak setelah memberi ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu hak untuk didengar (s 30(10) Akta 611). Walau bagaimanapun, Mahkamah Bagi Kanak-Kanak masih boleh membuat perintah di bawah ss (1) jika mahkamah berpuashati berdasarkan maklumat yang diberikan oleh seseorang Pelindung bahawa ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu, setelah dikehendaki hadir, telah tidak berbuat demikian, atau tidak ada atau tidak dapat ditemui dalam masa yang munasabah (lihat s 30(11) Akta 611).
[34] Lihat s 17(1) Akta 611 untuk pengertian kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan.
[35] Akta 611, s 30(1)(b).
[36] Akta 611, s 30(1)(c).
[37] Akta 611, s 30(1)(d).
[38] Akta 611, s 30(1)(e).
[39] Akta 611, s 30(8)(a). Bengkel interaktif merupakan satu susun atur di mana ibu bapa atau penjaga kanak-kanak berkenaan akan mengadakan sesi bersama kanak-kanak ini beserta dengan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat supaya mereka dapat berbincang sesama sendiri.
[40] Akta 611, s 30(8)(b).
[41] Akta 611, s 30(8)(c).
[42] [1993] 2 MLJ 9.
[43] Ibid, di ms 19.
[44] Tertuduh merupakan seorang juvana semasa kesalahan dilakukan.
[45] Chiam, supra, n 3 di ms 244.
[46] Lihat Abd Hadi Zakaria, Protecting Girls Official Measures Against Underaged Girls Rescued From Moral Danger (Kuala Lumpur: University of Malaya Press, 1995) di ms 151-153.
[47] Ibid.
[48] Ibid.
[49] Ibid.
[50] Ibid.
[51] Akta 611, s 30(9).
[52] Lihat Berita Harian, 11 September 2002.
[53] Lihat Utusan Malaysia, 24 September 2001 di mana sepasang suami isteri disyaki mendera anak angkat mereka. Kecederaan dan luka di tubuh kanak-kanak berkenaan kemudiannya dijahit sendiri oleh si pendera. Mangsa juga dilaporkan mengaku bahawa pernah dihentak dengan tukul kuku kambing dan juga telinganya di`stapler' dengan dawai kokot.
[54] Akta 611, s 31(4).
[55] Akta 611, ss 31(1) & (2).
[56] Lihat "Pengemis Kanak-Kanak Bertambah" bertarikh 15 November 1998 di www.utusanonline.com.my.
[57] Lihat "Gejala Kutip Derma Haram", Metro Ahad, 20 Oktober 2002. Lihat juga "Usah Peralat Kanak-Kanak", Harian Metro, 16 April 2001.
[58] Akta 611, s 32. Seseorang yang mempunyai tugas pemeliharaan kanak-kanak itu juga telah melakukan kesalahan di bawah seksyen ini jika membenarkan kanak-kanak itu terlibat dengan aktiviti yang disebutkan tadi.
[59] Lihat "Tiga beradik terkorban dalam kebakaran rumah mereka di Kelana Jaya" bertarikh 19 April 2001 di www.utusanonline.com.my.
[60]Lihat "Kanak-kanak mati terjatuh daripada tingkat 9 Pangsapuri Damai" bertarikh 9 Februari 2003 di www.utusanonline.com.my.
[61] Ibid.
[62] Lihat "Dua beradik dilarikan pencuri bersama kereta bapa" bertarikh 7 November 2000 di www.utusanonline.com.my.
[63] Utusan Malaysia bertarikh 8 September 2001.
[64] Akta 611, s 108(1)(a).
[65] Akta 611, s 108(1)(b).
[66] Jikalau Mahkamah Bagi Kanak-Kanak berpendapat bahawa ibu bapa atau penjaga kanak-kanak berkenaan tidak mampu untuk memberi sumbangan maka Mahkamah Bagi Kanak-Kanak tidak boleh membuat perintah sumbangan. Sila rujuk s 108(2) Akta 611.
[67] Akta 611, s 108(6). Hak untuk didengar bermaksud ibu bapa atau penjaga itu akan ditanya telebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat yang mungkin akan menjejaskan mereka.
[68] Akta 611, s 108(5).
[69] Akta 611, s 108(8). Walau bagaimanapun, suatu sumbangan tidak perlu dibayar jika kanak-kanak berkenaan berada di luar sekolah dengan kebenaran atau kanak-kanak berkenaan bercuti. Lihat s 108(9) Akta 611.
[70] Akta 611, s 94(1).
[71] Proviso kepada s 94(1) Akta 611.
[72] [1996] 4 MLJ 309.
[73] Akta 611, s 94(2). Walau bagaimanapun, sebelum perintah seperti di dalam s 94 Akta 611 tidak boleh dibuat tanpa memberi peluang kepada ibu bapa atau penjaga kanak-kanak berkenaan untuk didengar (s 94(5) Akta 611).
[74] Akta 611, s 93(1) memperuntukkan:
a) bahawa ibu bapa atau penjaga dengan ditemani oleh kanak-kanak itu hendaklah melaporkan diri di jabatan kebajikan atau balai polis yang berhampiran dengan kediaman ibu bapa atau penjaga pada lat tempoh yang telah ditetapkan oleh mahkamah.
b) Bahawa ibu bapa atau penjaga dengan ditemani oleh kanak-kanak itu menghadiri bengkel interaktif yang dianjurkan oleh pusat-pusat tertentu.
c) Bahawa ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu berunding dengan guru, guru besar atau pengetua kanak-kanak itu sebulan sekali sepanjang tempoh bon jika kanak-kanak itu berada di sesuatu institusi pendidikan.
d) Jika kanak-kanak itu dihantar ke sekolah yang diluluskan atau Sekolah Henry Gurney, maka ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu hendaklah melawat kanak-kanak itu secara tetap sebagaimana yang ditentukan oleh mahkamah.
[75] Akta 611, s 94(3).
[76] Akta 611, s 94(4).

URL: http://www.commonlii.org/my/journals/JMCL/2005/6.html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan